BALIKPAPAN (Indonesia), 1 Okt — Kerjasama antara syarikat petroleum nasional Malaysia dan Indonesia membabitkan Petronas dan Pertamina boleh menjadikan mereka pemain global yang penting di dunia.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata dua negara berjiran itu serta Brunei Darussalam adalah negara pengeluar minyak dan gas utama di rantau ini.
Katanya, beliau yakin seperti apa yang telah disuarakan oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo yang menyuarakan mengenai Petronas dan Pertamina perlu menjalin kerjasama yang erat.
“Ini adalah jalan yang cukup baik yang kita harus sambut kerana kalau kerjasama di antara Pertamina mahupun Petronas sudah sekian lama dilaksanakan dengan syarikat minyak antarabangsa seperti Shell, BP dan lain-lain dan saya yakin dengan kerjasama ini perlu kita realisasikan.
“Banyak sumber ini bukan diperoleh, contohnya, di Thailand, tidak diperoleh di Vietnam, tidak diperoleh di India, tidak diperoleh di China dan Filipina,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pertamina Refinery Unit V Balikpapan di sini, hari ini.
Beliau mengetuai lawatan Kerajaan Negeri Sabah di Balikpapan Kalimantan Timur dan Tarakan Kalimantan Utara selama tiga hari hingga esok.
Mohd Shafie berkata, jika rantau ini dapat meningkatkan kerjasama dengan rapat dan bukan beroperasi secara bersendirian, kemungkinan hasilnya terbatas.
“Tetapi kalau ia menjadi satu pemain global, kemungkinan ianya akan memberi manfaat yang baik,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Petronas (Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin) untuk melihat langkah-langkah yang perlu untuk kebaikan bukan hanya negara tetapi juga Sabah.
“Kerana kita mempunyai sumber yang kita peroleh daripada hasil negeri dan bagaimana dapat kita manfaatkan bukan hanya dari segi sumber kewangannya tetapi juga menyumbang peluang pekerjaan dan peluang perniagaan kepada anak kita di peringkat negeri Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, Pengurus Besar Pertamina Refinery Unit V Balikpapan Mulyono menyifatkan lawatan Mohd Shafie itu sebagai langkah awal untuk memulai peluang yang ada untuk mengembangkan perniagaan antara Pertamina dan Petronas.
Selepas ini, tentunya nanti ada banyak potensi perniagaan lain yang boleh dikembangkan yang memberi manfaat baik bagi masyarakat kedua-dua belah pihak sama ada Malaysia, mahupun Indonesia, katanya.- Bernama