Kerja pengalihan utiliti paip gas, laluan Subang ke Glenmarie ditutup

Estimate Reading Time: < 1 minute

SHAH ALAM: Laluan dari Subang menghala ke Glenmarie ditutup sementara bermula hari ini berikutan kerja-kerja pengalihan utiliti paip gas di lokasi projek pembinaan LRT 3 di Jalan Persiaran Kerjaya, Seksyen U1 dekat sini, semalam.

Penutupan laluan itu dijangka memakan masa 25 hari sehingga kerja-kerja pengalihan itu selesai..

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kerja pengalihan utiliti itu semalam dan difahamkan saluran paip itu adalah saluran utama bagi membekal gas asli ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya.

Katanya, selepas perbincangan dibuat bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta mengambil kira faktor keselamatan pengguna jalan raya dan kawasan sekitar, pihak bomba menyarankan supaya menutup laluan dari arah Subang menghala ke Glenmarie.

“Untuk makluman lokasi penutupan jalan ini adalah penghubung laluan utama dari Subang menghala ke Glenmarie. Sekiranya penutupan penuh dijalankan akan menyebabkan kesesakan teruk ke arah Lebuhraya Persekutuan menghala ke Shah Alam.

“Bagi mengelakkan kesesakan, laluan kontra akan dibuka bermula dari simpang tiga Temasya Kasih hingga ke Bangunan Palm Grove.

“Jarak laluan dua lokasi berkenaan adalah kira-kira 350 meter. Tempoh masa penutupan jalan dan pembukaan laluan kontra dijangka selama 25 hari (tempoh membaik pulih dijangka selesai),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu, bantuan rondaan daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Shah Alam dan pihak MRT bagi menilai tahap kesesakan lalu lintas dan keselamatan pengguna jalan raya.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk memandu secara berhemah, patuhi isyarat lalu lintas dan berhati-hati ketika melalui laluan kontra terbabit,” katanya.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427