Kereta dicuri, emas penawar duka Latif

Estimate Reading Time: < 1 minute

HANGZHOU: Di sebalik kejayaan meraih pingat emas pada temasya Sukan Para Asia Hangzhou 2022, tersimpan kisah duka membabitkan jaguh lompat jauh para negara Datuk Abdul Latif Romly.

Atlet kelahiran Perlis itu bukan sahaja mengakui tidak berada pada prestasi sebenar susulan kecederaan paha, malah turut kehilangan kereta beberapa minggu sebelum berlepas ke bumi Hangzhou.

Menurut atlet berusia 26 tahun itu, dia amat terkilan kerana kereta jenis Kia Sportage yang diterimanya daripada Syarikat Naza Corporation merupakan tanda mata kejayaan manis ketika meraih pingat emas pada temasya Sukan Paralimpik Rio 2016.

“Dua tiga minggu sebelum saya ke Hangzhou, kereta saya kena curi. Saya pula asyik fikirkan kereta yang hilang tapi isteri (Nurul Nabila Farhana Musaidi) banyak bagi semangat dan minta saya fokus kepada sukan dulu.

“Kereta Kia pemberian 2016 itu berjaya dijumpai di Batu Caves (Selangor) tapi dah kena potong,” katanya.

Kejayaan meraih emas tujuh tahun lalu turut menyaksikan dia menerima RM1 juta menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan selain beberapa sumbangan daripada syarikat korporat.

Selain kereta Kia Sportage, Naza Corporation ketika itu turut menghadiahkan suite kediaman di Equine Park, Seri Kembangan bernilai RM350,000.

Latif mempertahankan pingat emas buat kali ketiga berturut-turut dalam acara lompat jauh T20 (kecacatan intelektual) menyusuli kejayaan pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan dan 2018 di Jakarta-Palembang.

Pada aksi di Stadium Pusat Sukan Huanglong kelmarin, Latif melakukan lompatan terbaik dengan jarak 7.18 meter dalam percubaan keempat mengatasi pencabar terdekat Hassan Nasser Dawshi dari Arab Saudi yang meraih perak.

Gangsa dimenangi rakan senegara Zulkifly Abdullah.

Sekalipun mendominasi saingan, Latif mengambil pendekatan berhati-hati bagi mengelakkan kecederaan pahanya berulang, dengan keutamaan adalah Kejohanan Olahraga Para Dunia dan Sukan Paralimpik Paris 2024 tahun depan.

– BERNAMA

– BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427