KUALA LUMPUR: Kerajaan meneruskan semua perancangan pembangunan rel sedia ada walaupun berdepan kelewatan akibat pelbagai kekangan.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata sebagai contoh, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepatutnya siap pada 2024, namun disebabkan kekangan tertentu, projek itu perlu dimulakan dengan lebih cepat.
“Kita ucapkan terima kasih kepada kerajaan Selangor kerana sebelum ini, kita tidak mendapat kebenaran selama 18 bulan tapi selepas perbincangan sebanyak 37 kali, kita dapat persetujuan dengan kerajaan negeri.
“Kini, kita senada dengan semua negeri untuk menyiapkan projek ini mengikut waktu yang dirancang walaupun dianjak ke belakang sedikit.
“Kesannya, mereka yang mahu balik ke Kota Bharu, mungkin ambil masa tujuh ke lapan jam, kalau Aidilfitri, mungkin 12 jam, tapi dengan kelajuan (ECRL), maka ia contohnya disingkatkan kepada empat jam saja,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang bertanya langkah kerajaan untuk membaiki ‘kesilapan’ yang dilakukan kerajaan terdahulu dalam tempoh 22 bulan bagi memastikan projek untuk manfaat rakyat dapat diteruskan walau siapa pun yang memerintah.
-BH