KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti untuk melanjutkan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) hingga hujung tahun ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata beliau sudah memohon kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk melanjutkan kempen itu.
“Bagaimanapun, Kementerian Kewangan mungkin mengkaji semula syaratnya dan akan sedikit berbeza daripada yang sedia ada,” katanya selepas menghadiri majlis Malaysia’s Best Managed and Sustainable Property Award 2021 di sini, semalam.
HOC 2020 dilaksanakan dengan pengecualian duti setem dan potongan diskaun sebanyak 10 peratus diberikan kepada pemohon yang layak untuk membeli rumah berharga RM300,000 hingga RM2.5 juta.
Zuraida berkata, sehingga 28 Februari lalu, sejumlah 34,354 unit rumah dengan nilai RM25.6 bilion berjaya dijual bagi kempen HOC 2020-2021 dengan nilai diskaun diberikan sebanyak RM4.3 bilion.
BERNAMA