Kerajaan Selangor saman pembangkang burukkan imej negeri

Estimate Reading Time: 2 minutes

BANGI: Kerajaan Selangor mengesahkan sudah mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak pembangkang yang didakwa memburukkan imej serta pencapaian negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata tindakan itu menyusul selepas kerajaan negeri serta anak syarikat mendapati dakwaan yang dibuat itu jelas bersifat tuduhan liar yang memberi persepsi buruk.

Malah katanya, cubaan pihak pembangkang untuk memburukkan pencapaian kerajaan terutama dari segi pencapaian ekonomi berlaku sejak sebelum tempoh berkempen lagi, namun dilihat tidak berjaya.

“Hari ini mereka yang terdesak terpaksa mengitar beberapa isu yang telah dijelaskan secara tuntas di dalam (sidang) Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

“Insya-Allah satu atau dua hari lagi beberapa surat tuntutan akan sampai dan saya percaya kerana ia adalah satu fitnah yang dilemparkan semata-mata untuk mencarik imej kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Tekad Insan #Kita Selangor, di sini, hari ini.

Amirudin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor bagaimanapun enggan mendedahkan secara terperinci individu yang bakal menerima surat tuntutan berkenaan.

Beliau yang juga calon DUN Sungai Tua dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) berkata, pihak pembangkang tidak mempunyai isu tempatan untuk dimainkan lagi, lantas terpaksa mengulangi isu yang pernah dibangkitkan sebelum ini.

“Kita cuba memperjelaskan (isu tempatan) tetapi apabila kita diserang dalam isu Persekutuan, sudah tentu kita kena jawab.

“Sudah tentu ketentuannya adalah untuk menentukan hala tuju negeri. Tetapi bagaimana negeri hendak dibangunkan, juga harus ada kaitan dengan isu Persekutuan.

“Apa yang terjadi dalam masalah Perikatan Nasional (PN), mereka tidak ada isu negeri (tetapi) yang ada cuma fitnah dan kitaran isu yang pernah dibangkitkan dan dijawab serta juga mengulang benda yang sedikit sebanyak ditangani di peringkat Persekutuan,” katanya.

Beliau turut yakin tempoh kempen berbaki kira-kira seminggu sebelum 12 Ogos ini dapat digunakan sebaik mungkin untuk menjelaskan tawaran PH setakat ini.

Baru-baru ini PH mengumumkan manifesto dikenali Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad Untuk Lima Tahun.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427