Kerajaan sedia tambah sokongan fiskal

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersedia memberi sokongan fiskal tambahan dalam tempoh terdekat sekiranya terdapat keperluan untuk menjamin kelangsungan rakyat, perniagaan, mengukuhkan sistem kesihatan dan ekonomi.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata penyediaan sokongan fiskal tambahan itu boleh dilaksanakan menerusi gabungan rasionalisasi kos, dividen daripada ekosistem kerajaan dan meningkatkan had hutang statutori daripada paras semasa 60 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Katanya, pelaksanaan lapan pakej rangsangan dan bantuan ekonomi yang dilaksanakan setakat ini membuktikan komitmen kerajaan untuk membantu rakyat dan perniagaan serta memulihkan ekonomi negara daripada impak pandemik COVID-19.

“Bagi tahun ini saja, kami mengumumkan empat pakej rangsangan berjumlah RM26.8 bilion dari segi suntikan fiskal. Defisit dijangka meningkat daripada 5.4 peratus yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 kini kepada sekitar 6.5 peratus hingga 7.0 peratus, sementara had hutang statutori dijangka meningkat melepasi 60 peratus menjelang akhir tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog pada Sidang Kemuncak Pemulihan Negara dengan tema ‘Winning the War against COVID – The Road to Recovery’ anjuran KSI Strategic Institute for Asia Pacific secara maya hari ini.

Tengku Zafrul berkata, dalam tempoh sederhana dan panjang apabila krisis reda, kerajaan akan melaksanakan usaha pengukuhan fiskal negara.

Beliau berkata, usaha itu akan berpandukan rangka kerja fiskal jangka sederhana dan strategi pendapatan jangka sederhana yang disasarkan untuk meningkatkan asas pendapatan negara.

Katanya, pelaksanaan langkah itu akan mengimbangi keperluan fiskal jangka pendek dengan fiskal jangka panjang dan kestabilan ekonomi negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Tengku Zafrul berkata pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur akan menyokong pemulihan ekonomi pada suku keempat 2021 dan ia dijangka berterusan ke 2022.

Beliau berkata, permintaan luaran yang kukuh, harga komoditi yang kukuh dan pelaksanaan projek infrastruktur akan menyokong pemulihan ekonomi negara, di samping kadar vaksinasi yang pantas dengan negara dalam landasan mencapai 80 peratus populasi dewasa mendapat vaksin penuh menjelang akhir September dan 100 peratus menjelang akhir Oktober. -BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427