Kerajaan pertimbang ambil alih konsesi lebuh raya bila kewangan negara stabil

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mempertimbangkan cadangan mengambil alih konsesi lebuh raya bagi mengurangkan kadar tol di seluruh negara sekiranya kedudukan kewangan negara stabil pada masa depan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata ketika ini cadangan mengambil alih mana-mana konsesi lebuh raya tidak dapat dilaksanakan kerana ia membabitkan implikasi kewangan yang amat tinggi.

“Kerajaan sentiasa komited dan fokus terhadap sebarang usaha untuk menangani kenaikan harga barang serta mengurangkan kos sara hidup yang ditanggung rakyat.

“Namun kerajaan pada masa ini tidak bercadang mengambil alih mana-mana lebuh raya yang sedang beroperasi kerana memerlukan implikasi kewangan yang sangat tinggi.

“Kerajaan bersedia mempertimbangkan semula cadangan ini sekiranya keadaan kewangan dan fiskal negara mengizinkan kelak,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang bertanyakan komitmen kerajaan dalam mengambil alih konsesi lebuh raya dan beransur-ansur mengurangkan kadar tol di seluruh negara bagi meringankan beban rakyat.

Tahun lalu, kerajaan mengumumkan inisiatif pengambilalihan empat konsesi lebuh raya di Lembah Klang menerusi Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR), sebuah syarikat swasta yang semua pemegang sahamnya bukan berasaskan keuntungan.

ALR yang dipengerusikan Tan Sri Azlan Mohd Zainol, akan mengambil alih Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lebuhraya Damasara-Puchong (LDP).

Menerusi pengambilalihan itu, tiada kenaikan kadar tol di empat lebuh raya berkenaan sehingga tamat tempoh konsesi, sekali gus bakal memberi penjimatan bayaran pampasan dari 1 Januari tahun lalu yang dianggarkan sekurang-kurangnya RM4.3 bilion namun, tempoh konsesi dilanjutkan.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427