PUTRAJAYA: Kerajaan masih kekal dengan dasar membekukan pengambilan pekerja asing hingga akhir tahun ini selepas mengambil kira penularan wabak pandemik COVID-19 serta impaknya terhadap pasaran pekerjaan membabitkan tenaga kerja tempatan.
Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan, berkata permohonan untuk membenarkan majikan terutama daripada sektor yang berkeperluan tinggi terhadap pekerja asing seperti pembinaan, perladangan dan pertanian, akan dipertimbangkan apabila tempoh pembekuan itu berakhir.
Kenyataan itu dikeluarkan bagi memberi penjelasan terhadap kenyataan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim pada sesi soal jawab di Parlimen semalam, bahawa Kerajaan sudah memberi kebenaran kepada majikan untuk menggajikan pekerja asing dalam sektor pembinaan, perladangan dan pertanian.
“Dasar Kerajaan berhubung pembekuan pengambilan pekerja asing sehingga akhir tahun masih kekal kerana mengambil kira penularan wabak pandemik COVID-19 dan impaknya terhadap pasaran pekerjaan membabitkan tenaga kerja tempatan.
“Kerajaan akan mempertimbangkan permohonan untuk membenarkan majikan khususnya daripada sektor yang berkeperluan tinggi terhadap pekerja asing seperti pembinaan, perladangan dan pertanian apabila tempoh pembekuan tersebut berakhir,” katanya.
Kenyataan sama juga menyebut, pertimbangan itu akan turut mengambil kira pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung status pandemik COVID-19 dan pasaran pekerjaan tempatan.
-BH