‘Kenderaan tetap diperiksa, sekatan jalan kekal’

Estimate Reading Time: 1 minute

KUALA LUMPUR: Polis masih menjalankan operasi penguatkuasaan dan pemeriksaan kenderaan di sekatan jalan raya walaupun perniagaan sektor peruncitan kembali beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, berkata aliran lalu lintas masih terkawal kerana pemandu kenderaan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKP yang melarang pergerakan rentas daerah serta negeri tanpa alasan kukuh.

“Memang ada tambahan sektor peruncitan dibenarkan kembali operasi, tetapi arahan lain kerajaan masih berkuat kuasa.

“Contohnya, rentas daerah dan negeri tidak dibenarkan. Kita masih buat pemeriksaan kenderaan melalui sekatan macam biasa.

“Aliran trafik dijangka dapat dikawal kerana pemandu kenderaan masih terikat SOP PKP tidak dibenarkan rentas daerah serta negeri,” katanya pada BH, hari ini.

Ditanya jika polis akan mengurangkan sekatan jalan raya susulan pengumuman terbaharu kerajaan itu, Azisman berkata, pihaknya belum berhasrat berbuat demikian.

Selain sekatan, katanya, pasukan JSPT akan membuat rondaan dan pemeriksaan di jalan raya.

“Kita akan turun padang bagi mengesan mereka yang melanggar SOP ditetapkan,” katanya.

Antara baki sektor peruncitan yang dibenarkan kembali beroperasi termasuk kedai pakaian, fesyen dan aksesori, kasut, barangan dan perkhidmatan fotografi, barangan terpakai, kedai bunga atau nurseri, kraftangan dan cenderahati serta kedai antik.

Selain itu, kedai alat permainan, permaidani, kedai kandungan kreatif atau peralatan industri kreatif, barangan aktiviti luar, peralatan sukan, barangan rumah dan peralatan dapur, kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi, kedai tembakau, aksesori kenderaan dan Ar-Rahnu.

Sebelum ini, polis dilaporkan terus tegas menjalankan operasi pematuhan SOP sepanjang tempoh PKP, PKP Bersyarat (PKPB), PKP Diperketatkan (PKPD) dan PKP Pemulihan (PKPP) bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, dipetik sebagai berkata, kerjasama pelbagai agensi termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan memastikan penugasan pemantauan SOP termasuk penguatkuasaan sekatan jalan raya secara lebih berkesan serta menyeluruh.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427