‘Kenapa perlu beri subsidi kepada orang kaya?’ – Ahmad Maslan

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA: Pemberian subsidi kepada golongan kaya adalah satu kesilapan dan perlu diperbetulkan, kata Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata, kerajaan sekarang sedang memperbetulkan kesilapan itu supaya adil terhadap rakyat, terutamanya golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

“Orang kaya tak perlu subsidi pun, kenapa kita perlu beri subsidi kepada orang kaya? Negara manakah di dunia ini yang beri subsidi kepada orang kaya berbanding beri subsidi kepada orang miskin? Tiada, hanya Malaysia.

“Jadi dasar subsidi Malaysia itu silap,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Dokumen Piawaian Pelaburan Mampan (SIS) di Kementerian Kewangan, di sini hari ini.

Ahmad berkata, kerajaan sedang merangka pelaksanaan subsidi secara bersasar agar golongan berpendapatan 20 peratus tertinggi (T20) tidak akan terkesan secara mengejut.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, golongan berpendapatan tinggi T20 tidak akan akan menerima manfaat subsidi bagi penggunaan elektrik serta bantuan kewangan haji.

Bagi tujuan itu, Pangkalan Data Utama (PADU) akan digunakan untuk mengurus dan menyelaras penilaian agihan subsidi kepada golongan yang layak.

Ahmad berkata, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam jawapannya di Dewan Rakyat semalam, memberitahu bahawa penjimatan subsidi elektrik yang dilakukan secara bersasar dari tempoh 1 Januari hingga Jun adalah RM5.6 bilion.

“Dengan sebanyak itu, bermacam perkara kita boleh laksanakan untuk rakyat,” katanya.

– Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427