Kementerian Industri Utama optimis cadangan salur balik cukai keuntungan diluluskan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR- Kementerian Industri Utama optimis bahawa Kementerian Kewangan (MOF) akan meluluskan cadangannya agar cukai keuntungan luar biasa tiga peratus yang dikenakan kepada penanam sawit, disalurkan kembali kepada industri.

Menterinya Teresa Kok Suh Sim berkata, beliau menjangka harapannya bagi 2020 itu akan dipersetujui MOF dan telah menyenaraikan beberapa perkara yang perlu dilakukannya tahun depan untuk membantu menstabilkan harga minyak sawit mentah, yang ketika ini diniagakan hampir RM2,900 setan metrik berbanding RM1,700 setan metrik pada Disember tahun lepas.

“Ada banyak perkara yang perlu kita lakukan untuk menambah baik industri ini, namun, sehingga saya menerima ‘hitam putih’ (daripada MoF) saya tidak boleh berbuat apa-apa ,” katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat media tertutup mengenai industri minyak sawit di Wisma Bernama, hari ini.

Cukai keuntungan luar biasa merupakan cukai yang dikenakan kerajaan ke atas industri tertentu yang mencatatkan keuntungan melebihi purata, yang ketika ini dikenakan kepada industri sawit berikutan harga minyak sawit di pasaran fizikal telah melepasi paras RM2,500 setan metrik.

Oleh itu, berkuat kuasa 1 Jan, 2020, cukai keuntungan luar biasa sebanyak tiga peratus bagi setiap tan metrik akan dikenakan kepada penanam sawit di Semenanjung, manakala bagi penanam di Sabah dan Sarawak dikenakan sebanyak 1.5 peratus.- BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427