KEMENTAH cadang hidup semula PLKN

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan bercadang melaksanakan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dimansuhkan pada 2018 oleh pentadbiran Pakatan Harapan.

“Berdasarkan kepada kesan program yang baik kepada pembentukan patriotisme remaja yang menyertai program ini, pihak kementerian akan mencadangkan kepada Jemaah Menteri agar program ini dilaksanakan semula,” kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang mahu tahu mengapa program itu dihentikan dan mencadangkan supaya PLKN diteruskan semula.

Mengulas lanjut dalam sesi penggulungan, Ismail berkata jurulatih kontrak PLKN yang ditamatkan kontrak ditempatkan di pelbagai agensi dan kementerian bagi tempoh 1 tahun mulai 2019 hingga 2020.

“Tujuan pelantikan tersebut ialah bagi memberi peluang kepada pegawai terlibat untuk menampung sara hidup mereka sebelum mendapat pekerjaan lain.

“Bagi cadangan agar pegawai ini diserapkan ke dalam kementerian atau agensi kerajaan lain, perkara ini perlu dirujuk kepada pihak berkuasa melantik seperti Jabatan Perkhidmatan Awam dan sebagainya.”

Katanya, pelantikan kontrak secara “soft landing” itu membabitkan 1,394 bekas pegawai latihan kontrak Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN).

Ismail menjawab pertanyaan Shahidan Kassim (BN-Arau) yang membangkitkan isu jurulatih kontrak PLKN yang ditamatkan kontrak dan mencadangkan mereka diserap kementerian atau agensi kerajaan lain. -FMT

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427