Kemenangan dramatik bawa Croatia ke pusingan kalah mati

Estimate Reading Time: < 1 minute

GLASGOW – Croatia memastikan tempat ke pusingan 16 pasukan terbaik Euro 2020 selepas menewaskan Scotland 3-1 pada aksi terakhir Kumpulan D di Hampden Park sebentar tadi.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan Croatia menamatkan saingan peringkat kumpulan sebagai naib juara dan layak ke pusingan berikutnya secara automatik.

Bagaimanapun, Croatia berdepan detik-detik cemas pada awal permainan apabila Scotland melancarkan serangan sebaik sepak mula dan berjaya mendapatkan dua sepakan penjuru dalam tempoh seminit.

Jentera serangan Scotland yang diketuai Che Adams telah beberapa kali mengancam kubu pertahanan lawan pada 15 minit pertama, namun sebaliknya yang berlaku apabila Croatia terlebih dahulu menjaringkan gol menerusi Nikola Vlasic pada minit ke-17.

Croatia seolah-olah kembali mendapat rentak selepas gol tersebut dan terus meningkatkan tempo permainan tetapi Scotland kembali menyamakan kedudukan 1-1 tiga minit sebelum tamat separuh masa pertama menerusi Callum McGregor.

Bersambung separuh masa kedua, John McGinn hampir meledak gol kemenangan The Tartan Army pada minit ke-58, namun percubaannya hanya sedikit tersasar dari pintu gol Croatia.

Empat minit berselang, naib juara Piala Dunia 2018 mengganas lagi, kali ini menerusi kapten, Luka Modric yang melakukan percubaan menarik dari luar kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol Scotland, David Marshall.-KOSMO

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427