Kembalikan tumpuan kepada isu negeri – BERSIH

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mahu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) menumpukan kepada isu lokaliti mengikut negeri masing-masing.

Pengerusi Bersih, Thomas Fann mengingatkan pengundi dari enam negeri yang terbabit dalam PRN pada 12 Ogos ini supaya bertanyakan calon di kawasan mereka mengenai isu tempatan.

Katanya, isu tempatan banyak dikaitkan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dilantik oleh kerajaan negeri.

“Justeru, bakal Yang Berhormat (YB) yang dipilih nanti akan menentukan siapa dilantik menerajui PBT yang banyak berurusan secara terus dengan rakyat,” katanya pada sidang media pelancaran kempen#UndiLokal bersama Astro Awani di ibu pejabat Bersih, di sini, semalam.

Thomas berkata, isu penting yang perlu diambil kira adalah kutipan sampah, kerosakan jalan raya, pembangunan dan penyelenggaraan am.

Beliau menyifatkan PRN 2023 penting kerana buat pertama kali pemilihan kerajaan negeri dilakukan berasingan dan tidak dikaburi dengan kempen Kerajaan Pusat.

“PRN kali ini rakyat perlu faham perbezaan daripada pilihan raya lain sebelum ini. Kali ini rakyat akan memilih untuk pembangunan setempat dan bukan peringkat negara,” katanya.

Thomas menegaskan calon PRN 2023 juga perlu memfokuskan kempen mereka terhadap isu negeri dan tidak menakutkan-nakutkan rakyat dengan isu di peringkat Pusat seperti kestabilan kerajaan dan ekonomi negara.

Kempen #Undilokal atau #Votelokal yang dilancarkan Bersih, semalam, bertujuan menggalakkan pengundi untuk keluar mengundi dan mempertimbangkan calon yang membangkitkan isu tempatan.

“Menurut data pilihan raya lalu, jumlah pengundi yang keluar mengundi adalah di antara 60 dan 70 peratus,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, jumlah itu dipercayai kerana pilihan raya umum dan pilihan raya negeri dibuat secara serentak.

“Kami menjangkakan jumlah pengundi yang keluar mengundi kali ini sekitar 50 hingga 60 peratus sahaja tanpa kempen #Undilokal,” katanya.

Beliau berkata, dengan kempen yang diadakan bersama rakan media kali ini, BERSIH menjangkakan jumlah pengundi yang keluar mengundi boleh mencecah sehingga 70 peratus.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427