KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan menafikan menerima pembayaran royalti petroleum daripada Kerajaan Pusat, sebaliknya sebanyak RM15.7 juta yang diterima pada 17 September lalu adalah wang ihsan.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, berkata wang ihsan dan pembayaran royalti adalah dua perkara berbeza dan apa yang diperjuangkan oleh kerajaan negeri adalah pembayaran royalti petroleum.
“Kenyataan itu (dari Menteri Kewangan, Lim Guan Eng) adalah tidak benar dan mengelirukan rakyat. Apa yang dituntut adalah royalti minyak dan gas, manakala apa yang diberi atau disalurkan adalah wang ihsan.
“Cuba rujuk kembali kepada kamus dewan antara makna royalti dan ihsan. Saya nak maklum kepada ahli dewan dan rakyat yang saya hormati. Pada 17 September, kita terima sebanyak RM15,749,561.50, iaitu dalam tajuk penyaluran wang ihsan kepada Kelantan bagi tahun 2019.
“Beza wang ihsan dan royalti terlampau jauh. Wang ihsan ini, nak beri tak apa, tak nak beri pun tak apa. Namun royalti hak kita, dan kewajipan hendaklah dibayar kepada kerajaan Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Wan Hassan Wan Ibrahim (PAS-Semerak) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, di sini, hari ini.
Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Hilmi Abdullah (PAS-Guchil) yang bertanyakan jumlah tunggakan royalti sehingga kini, Ahmad berkata, bayaran royalti bergantung kepada hasil tahunan yang diperolehi.
“Pada 2017 sepatutnya diperoleh oleh Kelantan sebanyak RM1.03 bilion dan jumlah ini diperoleh daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan (UPEN).
“Bagaimanapun, untuk keseluruhan, saya memerlukan notis,” katanya.
Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memaklumkan pembayaran royalti kepada kerajaan negeri Kelantan sudah dibuat bulan lalu.
Katanya, beliau menandatangani pembayaran atas arahan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. – Bharian