Kejayaan UPM hasil komitmen, usaha berterusan – Naib Canselor

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Kejayaan Universiti Putra Malaysia (UPM) melonjak ke kedudukan 28 universiti terbaik dunia dan kekal sebagai institusi pengajian tinggi awam (IPTA) nombor satu di Malaysia dalam penarafan UI-Greenmetric World University Ranking 2019 adalah hasil komitmen dan usaha berterusan warga UPM.

Naib Canselornya, Prof Datin Paduka Datuk Dr Aini Ideris, berkata beliau gembira kerana UPM berjaya melonjak kepada kedudukan ke-28 terbaik dunia berbanding dengan kedudukan ke-32 tahun lalu dan berada dalam lingkungan empat kampus paling lestari di dunia untuk tahun 2019.

Beliau berkata, kejayaan itu sekali gus mengekalkan kedudukan UPM sebagai universiti nombor satu dalam negara selama 10 tahun berturut-turut dalam penarafan UI-Greenmetric World University Ranking 2019 dan menjadikan IPTA berkenaan berada pada kedudukan ketiga Asia dan kedua Asia Tenggara.

“Kejayaan ini adalah hasil usaha seluruh warga UPM yang menjadikan usaha kelestarian alam sebagai amalan dan komitmen peribadi, bukan sekadar peraturan semata. UPM sentiasa membuat penambahbaikan dalam menghasilkan sumber tenaga yang boleh diperbaharui di dalam kampus.

“Kami juga memastikan elemen bangunan hijau turut ditampilkan dalam setiap dasar pembangunan dan pengubahsuaian pembinaan di dalam UPM,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Penarafan UI-Greenmetric mengukur komitmen universiti dalam membangunkan infrastruktur mesra persekitaran serta inisiatif melestarikan kampus. Penarafan ini berjaya menarik perhatian 780 universiti dari 85 buah negara di seluruh dunia. Keputusan yang dikeluarkan pada 4 Disember 2019 itu menyaksikan universiti-universiti dari Amerika dan Eropah mendominasi ranking 20 teratas.

Ranking UI-Greenmetric menilai usaha melestarikan kampus hijau menggunakan lebih 60 indikator dalam penilaiannya yang merangkumi enam skop utama iaitu keluasan tanah & infrastruktur (15 peratus), tenaga dan perubahan iklim (21 peratus), sisa buangan (18 peratus), air (10 peratus), pengangkutan (18 peratus) dan pendidikan (18 peratus).

Mengulas lanjut, beliau berkata semua entiti di UPM bergerak secara sistematik dalam melaksanakan pelbagai inisiatif dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, pemuliharaan air dan program kitar semula.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, UPM juga memantau dan menjalankan pelbagai program bagi mengurangkan pencemaran yang dihasilkan dari kenderaan selari dengan agenda Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dunia.

“Penyelidik di UPM juga sangat komited dalam menjalankan penyelidikan yang berkaitan dengan isu-isu kelestarian hijau dan kemakmuran sejagat, selain memasukkannya ke dalam sukatan pengajaran dan pembelajaran dalam kelas,” katanya. -Bharian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427