KUALA LUMPUR: Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak boleh dianggap menemui kegagalan hanya kerana berlaku peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan harian COVID-19 kebelakangan ini.
Aktivis sosial, Dr Chandra Muzaffar, berkata beliau secara peribadi tidak terperanjat dengan perkembangan itu kerana Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini telah mengumumkan unjuran kes positif mungkin mencecah 24,000 sehari pada pertengahan September.
Katanya, masyarakat perlu memahami peningkatan kes jangkitan itu disumbangkan oleh ujian saringan secara besar-besaran ke atas kumpulan yang telah dikenal pasti berisiko, selain kemunculan varian Delta yang merebak dengan pantas dan drastik.
“Tetapi keadaan ini (peningkatan kes) tidak kekal dan kita pasti dapat mengatasinya melalui vaksinasi dan ujian saringan yang lebih berkesan
“Saya tidak bimbang dengan angka ini dan jangan kita mengukur prestasi berdasarkan angka jangkitan ini semata-mata kerana ada ukuran lain, antaranya kadar vaksinasi dan keadaan di hospital.
“Setakat ini, Alhamdulillah kita dapat menjaga keadaan kita. Mencabar, tetapi tidak sampai ke tahap kritikal seperti negara tertentu sehingga terpaksa memilih pesakit yang perlu diberi rawatan utama dan harus diselamatkan daripada maut.
“Saya harap kita tidak sampai ke tahap itu,” katanya pada wawancara khas bersama media, kelmarin.
PPN adalah strategi peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik COVID-19.
Strategi terbabit merangkumi empat fasa dan akan membabitkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.
Setiap fasa pelan pemulihan itu berpaksikan data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya iaitu bilangan kes jangkitan harian, keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) dan tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.
Chandra yang juga Presiden Gerakan Keadilan Sedunia (JUST), berkata terlalu awal untuk menggantikan PPN dengan pelan pemulihan baharu.
Katanya, penilaian terhadap PPN hanya sesuai dibuat apabila seluruh negara bergerak ke fasa dua serta tiga dan keputusannya pula mesti dibuat berdasarkan fakta.
Mengulas lanjut, Chandra berkata, PPN adalah satu pelan jelas dan mudah difahami oleh masyarakat kerana kejayaannya bergantung kepada sokongan dan penyertaan semua pihak.
Katanya, berdasarkan pengamatan, sokongan dan penyertaan terbesar oleh masyarakat adalah dalam aspek vaksinasi sehingga Malaysia muncul antara negara yang paling pantas memberikan pelalian.
“Sasaran kita pada Oktober boleh mencapai 70 atau 80 peratus kadar vaksinasi bagi mencapai imuniti kelompok. Jika tidak berlaku perkara luar biasa antara Julai hingga Oktober, Insya Allah kita dapat mencapai matlamat ini,” katanya.
Chandra berkata, kejayaan kerajaan dalam program vaksinasi disumbangkan dua faktor iaitu sistem kesihatan awam yang baik dan pengalaman mengendalikan vaksinasi wajib dari awal 60-an lagi.
Beliau berkata, sistem kesihatan Malaysia antara yang terbaik dalam kalangan negara membangun dan banyak membantu kelancaran proses pemberian vaksin secara besar-besaran.
Sehubungan itu katanya, kerajaan harus memperuntukkan sokongan kewangan lebih besar kepada sistem kesihatan awam, termasuk membuat perubahan tertentu bagi mengatasi kekurangan dan kelemahannya.
Chandra berkata, sasaran untuk kembali menjalani kehidupan normal secepat mungkin melalui fasa dalam PPN mesti dijadikan keutamaan semua pihak.
Katanya, ini kerana kehidupan yang ‘berkurung’ adalah bertentangan dengan fitrah manusia yang diciptakan untuk bergaul dan berinteraksi dengan orang lain.
Tambahnya, kelonggaran diberikan kepada negeri yang berpindah ke fasa lebih baik juga perlu digalakkan kerana ia dapat meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap kerajaan dan sistem kenegaraan, selain membolehkan semua sektor ekonomi berfungsi semula.
“Cuma prosedur operasi standard (SOP) mesti tegas dan dipatuhi rakyat termasuk penjarakan sosial dan pemakaian pelitup hidung dan mulut walaupun telah melengkapkan dua dos vaksinasi,” katanya.-BH