Kejar 45 minit bot nelayan Vietnam rompak hasil laut negara

Estimate Reading Time: < 1 minute

Kuching: Bimbang ditahan, bot nelayan asing dari Vietnam yang menceroboh perairan Sarawak bukan sahaja cuba melarikan diri sebaliknya turut dikesan melupuskan bukti.

Usaha mereka meloloskan diri bagaimanapun gagal apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak berjaya memintas bot berkenaan selepas mengejar selama 45 minit.

Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, pihaknya mengesan bot nelayan Vietnam sedang leka menangkap ikan di perairan negara pada jarak lebih kurang 100 batu nautika dari Tanjung Po, sekitar jam 4 pagi, di sini, awal pagi semalam.

“Menyedari kehadiran aset APMM, bot terbabit melepaskan peralatan menangkap ikan sebagai cubaan melupuskan bahan bukti dan cuba melarikan diri dari diperiksa oleh pihak penguatkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pihaknya mengejar bot terbabit dan mengambil masa hampir 45 minit untuk memintas sebelum berjaya menahannya.
“Pemeriksaan dan geledah mendapati bot itu tidak memiliki sebarang dokumen serta lesen dari Pengarah Perikanan Malaysia untuk melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara.

“Enam kru termasuk tekong warga Vietnam berusia antara 22 hingga 51 tahun juga gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa,” katanya.

Katanya, semua suspek dan bot yang ditahan kemudiannya diiring ke Pusat Tahanan Vesel Ibu Pejabat Maritim Negeri Sarawak, Kuching untuk siasatan lanjut.

“Bot, peralatan menangkap ikan, 7,000 liter diesel dan satu tan metrik pelbagai jenis ikan yang dirampas dianggarkan bernilai RM1 juta,” katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 iaitu menjalankan aktiviti perikanan di perairan Malaysia tanpa kebenaran sah serta Akta Imigresen 1959/63.-METRO

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427