Kecualikan caj parkir, pembaharuan lesen perniagaan, lesen memandu untuk bantu rakyat, kata PKR

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: PKR menggesa kerajaan menerusi kementerian berkaitan mengeluarkan arahan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) supaya mengecualikan caj yang dilihat tidak menganggu-gugat kesejahteraan dan keselamatan awam.

Naib Presiden PKR Chang Lih Kang berkata, dalam tempoh Covid-19 membelenggu negara, rakyat ketika ini masih perlu membayar caj parkir di semua kotak parkir seliaan PBT, serta perlu membayar caj pembaharuan lesen perniagaan dan diwajibkan memperbaharui lesen memandu bagi kelas B2 dan D.

“Saya berpandangan, caj parkir kereta memang tidak banyak ketika ini tetapi jika ada pemandu yang leka, mereka akan dikenakan kompaun oleh penguatkuasa PBT. Jadi, kadar kompaun itu dikira berat untuk orang awam biasa. Hari-hari kita perlu meletakkan kenderaan di kotak parkir, bagaimana kalau kena banyak kali, ia akan menjadi satu beban.

“Matlamat pengecualian ketiga-tiga caj ini adalah untuk meringankan beban dihadapi rakyat. Hal ini kerana, perkara yang dibangkitkan ini tidak menimbulkan kekacauan dan gangguan keselamatan kepada orang awam. Tetapi kalau parkir di luar kotak, menurut saya ia sudah melanggar prinsip ini,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Rozali Mohamud dilaporkan berkata, sebanyak 15,588 kompaun atas kesalahan meletak kenderaan dikeluarkan antara 1 hingga 26 Jan lalu. Rozali turut mengakui jumlah kompaun itu agak tinggi bagi tempoh kurang dari sebulan.

Malah, pada 3 Nov tahun lalu, Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menerusi Yang Dipertua Abd Hamid Hussain turut dilaporkan berkata, pihaknya akan tetap meneruskan sistem parkir berbayar di Pekan Dengkil bermul Januari bagi mengelakkan isu lambakan kenderaan buruk atau terbiar.

Manakala, laporan terkini dikeluarkan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef) yang bertajuk “Keluarga di Pinggiran” melibatkan tinjauan ke atas 500 ketua isi rumah (KIR) mendapati, 63% daripada mereka tidak mampu menampung perbelanjaan harian termasuk membeli barangan dapur dan membayar bil.

Malah, Unicef turut melaporkan, pengangguran dalam kalangan KIR meningkat dua kali ganda sejak tahun lepas ketika PKPB dijalankan. Kajian juga mendapati, kadar pengangguran meningkat daripada 7% pada Sept kepada 15% pada Dis dengan satu daripada tiga orang dewasa isi rumah tidak mempunyai pekerjaan.

Chang berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Pengangkutan perlu mengeluarkan arahan kepada jabatan dan agensi seliaan masing-masing, supaya beban ditanggung rakyat untuk tempoh setahun ini dapat dikurangkan serba sedikit.

“Kementerian perlu beri satu arahan untuk semua PBT. Jangan lupa juga, sekarang ini adalah tempoh darurat. Kerajaan boleh laksanakan satu ordinan dan ia secara tidak langsung akan wajib diikuti oleh semua negeri. Seperti lesen memandu, rakyat hanya perlu “renew” tanpa perlu bayar,” katanya.

Pada 12 Jan lalu, Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan proklamasi darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19. Tempoh pelaksanaan darurat akan dilaksanakan hingga 1 Ogos atau tarikh lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan.

Manakala, perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 yang dijadualkan berakhir pada 4 Feb lalu disambung hingga 18 Feb, susulan terdapat peningkatan kluster dan kes harian Covid-19, yang sehingga hari ini masih menunjukkan empat angka kes setiap hari.

-FMT

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427