KUALA LUMPUR: Khutbah Jumaat semalam menyentuh soal memelihara kesucian Islam yang ada kaitan dengan insiden baru-baru ini.
Khutbah disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan video yang tular adalah satu berita sangat menyedihkan kerana pelakunya seorang yang mengaku Islam.
“Penistaan dibuat dalam bentuk komedi kononnya disambut dengan hilai tawa dari kalangan bukan Islam yang jahil tentang Islam adalah satu tindakan menghina kesucian Islam.
“Selain itu, ada sebahagian umat Islam lain mempertikaikan pelaksanaan ibadah korban sedangkan ia sememangnya jelas salah satu syiar yang sudah disyariatkan kepada umat Islam,” menurut khutbah itu.
Khutbah itu turut menjelaskan segala kecelaruan terbabit berpunca daripada kejahilan yang sudah menebal dalam diri.
“Mereka dengan berani menista, menghina dan mempertikaikan syiar dan syariat Islam juga kerana sudah hilangnya rasa malu dalam diri.
“Sepatutnya kita berasa sangat bimbang jika Allah SWT menurunkan azab-Nya, lantaran kemungkaran dan kelekaan kita mengingkari perintah-Nya,” katanya.
Ini kerana katanya, setiap perkara yang berlaku menunjukkan perlunya masyarakat Islam berpegang teguh dengan al-Quran dan al-Sunnah seperti diperintahkan Allah SWT, bahkan Rasulullah SAW bersabda umatnya tidak akan sesat jika berpegang teguh pada keduanya.
“Segala perkara berkaitan urusan agama tidak boleh dibahaskan berdasarkan logik akal semata-mata. Ia memerlukan kepada disiplin ilmu yang benar dan pemahaman jelas terhadap nas berkaitan. Bahkan bagi orang awam, mereka perlu merujuk hal berkaitan agama kepada pihak berautoriti,” kata khutbah itu.
Justeru umat Islam perlu memantapkan pegangan akidah supaya mampu berhadapan dengan kewujudan banyak aliran pemikiran yang merebak dalam masyarakat Islam hari ini.
“Ini kerana ibu bapa perlu bertanggungjawab memberi didikan agama yang sempurna kepada anak-anak mereka selain menunjukkan contoh teladan yang baik berasaskan nilai Islam sebenar.
“Setiap umat Islam juga bertanggungjawab mempertahankan kesucian Islam daripada dinista dan dinodai,” katanya.
-BH