Kebocoran paip minyak Singapura: Johor giat kesan tumpahan minyak

Estimate Reading Time: < 1 minute

JOHOR BAHRU: Johor tidak mengesan kesan tumpahan minyak di perairan negeri itu setakat ini susulan kebocoran paip minyak di Pulau Bukom, Singapura, yang menjejaskan perairan republik berkenaan sejak kelmarin.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon, berkata pemantauan sedang dilakukan di perairan negeri ini berhampiran republik itu bagi mengesan sebarang kesan tumpahan minyak untuk tindakan susulan.

“Jabatan Laut Wilayah Selatan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sudah dimaklumkan mengenai kebocoran paip minyak di perairan Singapura.

“Dua agensi itu kini sedang giat melakukan tinjauan dan pemantauan di perairan Johor bagi mengesan sebarang kesan tumpahan minyak sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya ketika dihubungi.

Hari ini, NST Singapura melaporkan insiden pencemaran minyak yang mencemarkan perairan republik itu berlaku awal pagi Sabtu lalu.

Ia berpunca daripada kebocoran saluran paip sebuah syarikat minyak dan gas (O&G) antarabangsa di Pulau Bukom, yang terletak pada jarak 5.5 kilometer barat daya dari daratan Singapura.

Pulau Bukom menempatkan tapak minyak dan petrokimia yang terintegrasi dengan kemudahan pembuatan untuk bahan api, minyak asas pelincir dan bahan kimia khusus.

Lembaga Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) dilaporkan berkata, kebocoran minyak dikesan kira-kira jam 5.30 pagi Sabtu dari saluran paip darat milik sebuah syarikat O&G antarabangsa antara Pulau Bukom dan Bukom Kecil.

Akibat insiden itu, minyak dari paip terbabit dilaporkan mengalir ke kawasan penampungan dengan sebahagiannya melimpah ke saluran air antara Pulau Bukom dan Bukom Kecil di perairan Singapura.

Peralatan termasuk boom penampan minyak dilaporkan sudah diletakkan berhampiran lokasi kebocoran minyak, manakala MPA Singapura mengaktifkan dron dan keupayaan satelit untuk menjejak kesan minyak bagi tujuan pembersihan di perairan republik itu.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427