Kami tak akan pecat pembongkar maklumat lagi, kata Top Glove

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Syarikat yang merekodkan lebih 5,000 kes Covid-19, Top Glove Corp Bhd Malaysia, memutuskan tidak lagi akan membuang pekerjanya yang menjadi pembongkar maklumat.

Sebaliknya, syarikat itu menyediakan tiga talian bantuan sebagai saluran bagi pekerja membuat aduan, lapor Reuters.

Minggu lalu, seorang pekerja Nepal berusia 27 tahun, Yubaraj Khadka dilaporkan dipecat selepas menimbulkan kebimbangan mengenai kekurangan pematuhan terhadap penjarakan sosial di kilang.

Khadka sempat mengambil dua keping gambar situasi rakan sekerjanya yang sedang sesak beratur masuk ke dalam sebuah kilang Top Glove sebelum dikongsikan kepada seorang aktivis hak pekerja.

“Sekiranya kejadian ini berlaku hari ini, pekerja terbabit tidak akan diberhentikan kerana kami berbincang dengan perunding yang kini membimbing kami mengenai tindakan yang perlu dibuat,” kata pengarah urusan Lee Kim Meow dalam satu temu bual di stesen radio BFM.

Lee berkata, syarikat pembuat sarung tangan perubatan terbesar di dunia itu membuka tiga talian bantuan untuk pekerja yang mengalami masalah, satu talian dalaman dan dua lagi dikendalikan perunding serta firma audit. Beliau bagaimanapun tidak menamakan syarikat luar yang mengendalikan talian bantuan itu.

Lee berkata Khadka tidak memberi maklum balas kepada syarikat itu mengenai keadaan kerja, tetapi sejak itu proses terbabit telah ditambah baik.

“Kami sebenarnya ada bercakap dengannya, dan dia mengaku pada asalnya niatnya mahu menghantar gambar itu kepada seseorang dengan harapan digunakan terhadap Top Glove,” katanya.

Bulan ini, Top Glove dilaporkan menjadi kluster virus terbesar di negara ini berikutan lebih 5,000 pekerjanya dijangkiti Covid-19, sementara beberapa pengeluar sarung tangan lain turut melaporkan jangkitan membabitkan pekerja mereka.

Kilang itu turut melaporkan satu kes kematian pertama pekerjanya akibat Covid-19, minggu lalu.

“Kes ini memberi banyak pengajaran kepada kami. Kami akui masih banyak perkara yang perlu diperbaiki. Sudah pasti, kami akan buat lebih baik lagi,” kata Lee. – FMT

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427