KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki hari ini meminta ahli perniagaan, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan yang kini berada di luar negara untuk balik berurusan dengan pihaknya tanpa sebarang alasan.
Azam turut menafikan SPRM baru mencari menantu bekas Perdana Menteri itu, sebaliknya agensi berkenaan sudah beberapa kali mencuba menghubungi beliau.
“Kita sudah mencarinya sejak Jun tetapi gagal untuk beri bekerjasama dan setiap kali pegawai penyiasat berhubung dengannya, ada alasan diberikan.
“Tindakan (notis individu dikehendaki) dilakukan apabila beliau tidak mahu bekerjasama dan bukan ada kaitan dengan pilihan raya negeri (PRN),” katanya kepada BH, hari ini.
Azam berkata, pasukan peguam yang mewakili Muhammad Adlan juga perlu memainkan peranan untuk memastikannya bekerjasama mengikut undang-undang negara.
Semalam, media melaporkan Muhammad Adlan menegaskan beliau tidak melarikan diri daripada pihak berkuasa, sebaliknya akan kembali ke tanah air untuk membantu siasatan selepas selesai segala urusannya.
Muhammad Adlan menerusi peguamnya, Datuk Baljit Singh Sidhu, menegaskan beliau meninggalkan Malaysia secara sah dan tidak pernah ditangkap atau pernah dipanggil SPRM bagi membantu siasatan.
Peguam itu mendedahkan, Muhammad Adlan pernah dihubungi pegawai SPRM dan menjawab secara bertulis melalui surat bertarikh 3 Jun lalu dengan menyatakan keluar negara bagi urusan dan akan kembali selepas hal itu selesai.
Beliau berkata, anak guamnya yang turut memberikan tarikh akan kembali ke tanah air, terkesan dengan SPRM berhubung tindakan ‘memburu’ dan menuding jari terhadapnya sehingga merugikan beliau.
Baljit menyifatkan, kenyataan media SPRM meminta bantuan untuk mengesan Muhammad Adlan sama sekali tidak diperlukan dan dilihat sebagai percubaan untuk memburuk dan mengaibkan anak guamnya.
Beliau dilaporkan berkata, anak guamnya juga terkejut apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melihatnya wajar untuk mengulas mengenai isu berkenaan, menunjukkan terdapat plot yang sedang berlaku.
Azam pada sidang media semalam berkata, SPRM percaya dua lelaki termasuk Muhammad Adlan melarikan diri ke luar negara selepas dimasukkan dalam ‘wanted list’ (orang dikehendaki) agensi itu.
Beliau berkata, pihaknya sudah beberapa kali cuba untuk berhubung dengan kedua-dua individu berkenaan namun tidak berjaya.
– BH