“Hasil fasa pertama kami mampu mengeluarkan hampir empat tan bawang merah bernilai lebih RM30,000 dan percubaan itu dianggap berjaya walaupun berdepan pelbagai cabaran disebabkan kurang pengalaman.
“Kami belajar kaedah penanaman bawang merah ini daripada pekebun di Sumatera Barat, Indonesia, ketika melakukan lawatan ke sana tetapi ia masih belum mencukupi,” katanya.
Azhar berkata, sokongan isterinya menjadi pembakar semangatnya untuk terus menceburi projek tanaman bawang merah yang mempunyai permintaan tinggi di negara ini.
Beliau berkata, kelebihan tanaman bawang ialah tempoh matang yang singkat antara 75 hingga 90 hari, selain penjagaan tanaman berkenaan juga tidak terlalu membebankan berbanding sayuran.
Katanya, minat mendalam dengan projek tanaman bawang tidak menjadi beban buatnya berulang alik setiap minggu dari rumahnya di Sepang, Selangor ke Kampung Pasir Sia, Tembeling Tengah.
“Kami juga mengusahakan kebun dengan tanaman nanas, kelapa, cempedak, pisang, durian dan master sejak lima tahun lalu.
“Cabaran tanaman bawang merah ialah cuaca terutama hujan kerana tanaman ini tidak boleh menerima air berlebihan. Selain itu, tanaman ini juga terdedah dengan penyakit seperti kulat yang menyebabkan bawang rosak.
“Saya yakin projek fasa kedua ini nanti akan memberi hasil berganda berbading yang diperoleh sebelum ini,” katanya yang bertugas dengan syarikat swasta sebagai pengurus ladang kelapa sawit.
Sementara itu, Haslina berkata, minat dengan pertanian mendorong dia dan suaminya terbabit dalam projek tanaman bawang yang dianggap masih asing di negara ini, berbanding di Indonesia serta India.
“Permintaan tinggi terhadap bawang di negara ini menjadi punca kami mencuba tanaman itu yang mempunyai pasaran menggalakkan.
“Kami dibantu enam pekerja dan turut mendapat nasihat Jabatan Pertanian Pahang serta Pejabat Pertanian Daerah Jerantut. Kami berhasrat menjadi pengeluar utama bawang di Pahang,” katanya.
Pengarah Jabatan Pertanian Pahang, Muhd Rizal Baharom pula berkata, pihaknya akan terus membantu pekebun yang berminat mengusahakan tanaman bawang berskala besar di negeri ini.
“Kita akan terus memantau projek tanaman bawang diusahakan Azhar dan isterinya yang mula meraih hasil lumayan. Semoga usaha mereka ini menjadi inspirasi kepada ramai lagi petani yang mahu mengusahakan tanaman bawang pada masa depan,” katanya.
-BeritaHarian