Kadar upah graduan rendah bersifat sementara

Estimate Reading Time: 2 minutes

 KUALA LUMPUR: Isu graduan baharu yang menerima upah lebih rendah pada tahun 2020 berbanding 2019, termasuk menerima upah lebih rendah daripada gaji minimum disifatkan sebagai keadaan sementara.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata kementeriannya yakin bilangan pekerjaan graduan dan kadar upah akan bertambah baik apabila ekonomi negara kembali stabil.

Katanya, pandemik COVID-19 memberikan impak yang berbeza ke atas pertumbuhan sektoral dan pekerjaan dalam pasaran buruh negara dengan kadar upah bagi beberapa pekerjaan mengalami peningkatan, penurunan dan tidak berubah.

“Walaupun graduan kategori paling terjejas, penempatan pekerjaan untuk graduan dilaporkan adalah yang tertinggi. Peratusan penempatan pekerjaan untuk pekerjaan yang setaraf dengan graduan, iaitu Profesional, Pengurus, Teknikal dan Profesional Bersekutu (PMET) meningkat daripada 38 peratus pada suku ketiga kepada 50.2 peratus pada suku keempat 2020.

“Peningkatan pekerjaan yang setaraf dengan kelulusan graduan dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan, petanda baik kepada pemulihan pasaran buruh kerana kedua-dua sektor ini adalah sumber pekerjaan utama bagi graduan dalam tempoh sebelum krisis (2019),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saravanan berkata, statistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) menunjukkan majoriti pekerja termasuk graduan yang diambil bekerja dalam suku ketiga dan keempat tahun lalu menerima upah asas antara RM1,200 hingga RM1,499 sebulan manakala hanya 8.8 peratus pekerja yang dibayar dengan upah asas di bawah gaji minimum RM1,200.

Beliau berkata, tumpuan upah pada julat RM1,200 hingga RM1,499 boleh dikaitkan dengan tiga faktor, iaitu permintaan yang lebih tinggi untuk pekerjaan bukan lulusan graduan, lokasi dan pengangguran kitaran yang disebabkan oleh pandemik COVID-19.

“Pada suku keempat tahun 2020, penawaran tenaga kerja didominasi oleh pencari kerja dengan pendidikan tinggi, yang mewakili 45.5 peratus dari keseluruhan jumlah pencari kerja.

“Bagaimanapun, majoriti atau 70 peratus kekosongan yang ditawarkan oleh majikan adalah untuk pekerjaan bukan graduan.

“Dengan kekurangan jawatan kosong untuk pekerjaan graduan (PMET), pencari kerja yang berpendidikan tinggi berkemungkinan besar memilih pekerjaan bukan graduan seperti kerani, pembantu jualan, pembantu pentadbir, khidmat pelanggan dan seumpamanya.

“Ia sebagai langkah sementara sehingga ekonomi pulih sepenuhnya dan mampu menjana lebih banyak peluang pekerjaan untuk kategori PMET,” katanya.

Justeru, beliau berkata, inisiatif pemulihan dan pakej rangsangan daripada kerajaan, ditambah dengan program imunisasi COVID-19 dijangka mampu untuk menyumbang kepada pemulihan dalam ekonomi, sektor perniagaan, dan pasaran pekerjaan. BERITA HARIAN

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427