PUTRAJAYA, 10 April 2023 – Kadar pengangguran pada Februari 2023 turun kepada 3.5 peratus, dengan 591.9 ribu orang penganggur, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan hari ini dalam siaran Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, Februari 2023. Statistik ini memperihalkan kedudukan penawaran buruh bulanan berdasarkan Survei Tenaga Buruh yang dilaksanakan oleh DOSM.
Mengulas prestasi keseluruhan bagi Februari 2023, Ketua Perangkawan Malaysia berkata, “Kedudukan pasaran buruh negara terus stabil sejajar dengan perkembangan aktiviti ekonomi semasa. Justeru, bilangan tenaga buruh pada Februari 2023 berada pada trend menaik, dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.2 peratus kepada 16.78 juta orang (Januari 2023: 16.76 juta orang), merekodkan kadar penyertaan tenaga buruh yang lebih tinggi iaitu pada 69.9 peratus (Januari 2023: 69.8%). Situasi yang menggalakkan ini adalah berikutan pertambahan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala bilangan penganggur menunjukkan trend penurunan.”
Selanjutnya, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, “Pada Februari 2023, bilangan penduduk bekerja terus meningkat, merekodkan 16.19 juta orang, naik sebanyak 0.2 peratus bulan ke bulan (Januari 2023: 16.16 juta orang). Sebaliknya, bilangan penganggur pada bulan Februari terus menunjukkan trend penurunan dengan pengurangan sebanyak 0.7 peratus kepada 591.9 ribu orang (Januari 2023: 596.1 ribu orang). Oleh itu, kadar pengganguran pada bulan tersebut turun sebanyak 0.1 mata peratus kepada 3.5 peratus (Januari 2023: 3.6%).”
Mengulas lanjut mengenai kedudukan guna tenaga, Ketua Perangkawan Malaysia berkata, “Kategori pekerja meliputi 75.7 peratus, yang secara konsisten merangkumi komposisi terbesar penduduk bekerja pada Februari 2023. Kategori ini mencatatkan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.1 peratus
kepada 12.25 juta orang (Januari 2023: 12.24 juta orang). Penduduk bekerja sendiri turut mencatatkan kenaikan 0.5 peratus merekodkan 2.89 juta orang pada Februari 2023 (Januari 2023: 2.88 juta orang).”
Mengikut sektor ekonomi, bilangan penduduk bekerja dalam sektor Perkhidmatan terus meningkat, terutamanya dalam aktiviti Perkhidmatan makanan & minuman; Perdagangan borong & runcit; dan Pentadbiran & khidmat sokongan. Pada masa yang sama, bilangan penduduk bekerja dalam sektor Pembuatan, Pembinaan, Perlombongan & pengkuarian serta Pertanian juga menunjukkan trend yang sama.
Mengulas lanjut mengenai situasi pengangguran pada bulan tersebut, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata,“Mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif, merangkumi 80.3 peratus daripada jumlah penganggur pada Februari 2023. Bilangan dalam kategori ini berkurang sebanyak 1.3 peratus merekodkan 475.5 ribu oran
Kadar pengangguran Februari 2023 turun kepada 3.5 peratus, dengan 591.9 ribu orang penganggur
g (Januari 2023: 481.6 ribu orang). Daripada jumlah penganggur aktif, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan meliputi 61.0 peratus, manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun adalah 6.3 peratus. Manakala, penganggur tidak aktif atau mereka yang percaya tiada pekerjaan yang tersedia, meningkat 1.7 peratus kepada 116.4 ribu orang (Januari 2023: 114.5 ribu orang).”
Pada bulan tersebut, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun mencatatkan penurunan sebanyak 0.2 mata peratus kepada 11.3 peratus, dengan bilangan seramai 320.8 ribu orang (Januari 2023: 11.5%; 328.8 ribu orang). Sementara itu, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun kekal pada kadar 7.0 peratus, mencatatkan 450.2 ribu penganggur (Januari 2023: 7.0%; 449.7 ribu orang).
Bagi kumpulan tidak aktif, bilangan penduduk di luar tenaga buruh pada Februari 2023 terus berkurang sedikit iaitu sebanyak 0.02 peratus kepada 7.24 juta orang (Januari 2023: 7.24 juta orang). Antara sebab utama mereka yang berada di luar tenaga buruh adalah kerja rumah/ tanggungjawab keluarga (43.2%), diikuti oleh bersekolah/ latihan dengan 40.6 peratus.
Merumuskan keseluruhan kedudukan tenaga buruh pada Februari 2023, Ketua Perangkawan Malaysia berkata, “Pertumbuhan dalam semua sektor ekonomi dan keperluan kepada lebih ramai pekerja bagi menyokong permintaan domestik yang tinggi akan mendorong kepada peningkatan dalam permintaan buruh. Justeru, momentum pemulihan pasaran buruh dijangka berterusan sejajar dengan jangkaan trend pertumbuhan ekonomi negara, yang kekal menggalakkan pada 2023. Oleh itu, pasaran buruh juga dijangka meneruskan momentum pertumbuhan yang stabil pada bulan-bulan berikutnya, selari dengan prestasi ekonomi semasa.”