Kadar pengangguran di Malaysia masih terkawal

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA: Kadar pengangguran di Malaysia masih di bawah kawalan dan kerajaan sedang berusaha mencipta serta mengekalkan pekerjaan melalui pelbagai inisiatif yang dipantau rapi oleh Majlis Pekerjaan Negara (MPN).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata terdapat pihak mempersoalkan pengangguran yang dikaitkan dengan penguncupan ekonomi dan usaha kerajaan menangani krisis kembar kesihatan awam dan ekonomi.

Hakikatnya, beliau menegaskan, pada 2020, lebih 150 negara di dunia mengalami penguncupan dan krisis ekonomi yang paling teruk di dalam sejarah masing-masing.

“Namun, apa yang lebih penting adalah sama ada usaha yang dilaburkan oleh kerajaan membuahkan hasil di dalam keadaan yang amat mencabar ini.

“Data paling terkini menunjukkan trend memberangsangkan bagi Januari 2021, iaitu semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua dan Februari 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) Ke-50 pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), hari ini.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, seramai 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja menerima manfaat Program Subsidi Upah (PSU) 1.0 di bawah PRIHATIN dan PENJANA.

Katanya, setakat 9 April lalu, permohonan subsidi upah yang diluluskan telahpun mencapai nilai RM12.872 bilion.

“Bagi PSU 2.0, setakat 9 April, sejumlah RM1.148 bilion sudah disalurkan di bawah KITA PRIHATIN kepada 73,210 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 631,801 pekerja.

“Seramai 132,403 pekerja berjaya mendapat pekerjaan melalui Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan setakat 9 April lalu, berbanding 132,118 pada minggu sebelumnya.

“Antara industri dan sektor utama yang mengambil pekerja termasuk pembuatan serta perdagangan borong dan runcit,” katanya.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427