PUTRAJAYA: Kadar pengangguran pada April 2022 turun kepada 3.9 peratus, sekali gus berada di bawah empat peratus buat kali pertama sejak pandemik COVID-19, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata aktiviti ekonomi terus berkembang berikutan negara membuka semula sempadan antarabangsa pada awal bulan itu.
Justeru, katanya kedudukan tenaga buruh pada April 2022 terus mengukuh dengan peningkatan sebanyak 0.4 peratus bulan ke bulan kepada 16.5 juta orang.
“Oleh itu, kadar penyertaan tenaga buruh meningkat sebanyak 0.2 mata peratus kepada 69.4 peratus, menunjukkan lebih banyak penyertaan buruh dalam pasaran.
“Situasi yang menggalakkan ini adalah berikutan peningkatan guna tenaga yang berterusan manakala pengangguran kekal pada trend yang menurun,” katanya dalam satu kenyataan berhubung Survei Tenaga Buruh yang dilaksanakan oleh DOSM.
Mohd Uzir berkata, penduduk bekerja kekal pada trend positif dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.5 peratus merekodkan 15.85 juta orang pada April 2022.
Sementara itu, katanya bilangan penganggur kekal pada trend menurun bagi sembilan bulan berturut-turut, mencatatkan penurunan sebanyak tiga peratus kepada 649,300 orang.
“Justeru, kadar pengangguran turun di bawah kadar empat peratus buat
kali pertama merekodkan 3.9 peratus setelah dua tahun pandemik COVID-19 melanda negara ini,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai situasi guna tenaga, beliau menjelaskan bahawa
kategori pekerja yang merangkumi komposisi terbesar jumlah penduduk bekerja iaitu sebanyak 76.3 peratus, meningkat 0.3 peratus bulan ke bulan kepada 12.09 juta orang.
Penduduk bekerja sendiri juga, katanya terus bertambah sebanyak 1.2 peratus kepada 2.72 juta orang pada April 2022.
“Peningkatan ini sebahagiannya adalah disebabkan oleh lebih banyak aktiviti perniagaan sempena sambutan Ramadan dan persiapan menjelang Aidilfitri pada bulan itu selari dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa yang menggalakkan sektor pelancongan dan industri berkaitan pelancongan untuk meneruskan aktiviti mereka,” katanya.
Mengikut sektor ekonomi, bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan terus mengekalkan trend positif terutama dalam subsektor perdagangan borong & runcit; perkhidmatan makanan & minuman dan kktiviti kesihatan kemanusiaan & kerja sosial.
Bilangan penduduk bekerja dalam sektor pembuatan dan pembinaan
juga terus meningkat.
Sektor pertanian mencatatkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja pada April buat kali pertama setelah 22 bulan berturut-turut berada dalam trend menurun bulan ke bulan.
Sementara itu, sektor perlombongan & pengkuarian terus merekodkan penurunan dalam guna tenaga.
Mohd Uzir berkata, tinjauan ekonomi yang lebih positif dapat dilihat susulan negara sedang dalam fasa peralihan ke endemik.
Beliau menambah bahawa peningkatan jumlah permohonan oleh majikan bagi pekerja bukan warganegara berikutan pembukaan semula sempadan antarabangsa negara dijangka akan dapat mengurangkan isu kekurangan guna tenaga terutamanya dalam sektor pembinaan dan pertanian, seterusnya akan merangsang lagi kedudukan pasaran buruh negara.
“Selain itu, aliran masuk pelancong asing juga boleh menyumbang kepada pemulihan semula industri pelancongan terutama dalam subsektor
penginapan.
“Selain daripada kesan negatif akibat susut nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) terhadap ekonomi, ia mungkin akan memberikan kesan positif terhadap sektor pelancongan dari segi kos yang lebih rendah bagi pelancong dan akan menjadikan negara ini sebagai destinasi percutian pilihan.
“Perbelanjaan pelancong juga dapat membantu perniagaan kecil untuk pulih setelah dua tahun berdepan kesukaran akibat pandemik. Situasi ini dilihat akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan berikutan aktiviti perniagaan memerlukan lebih ramai pekerja untuk menampung permintaan barangan dan perkhidmatan yang semakin meningkat. Oleh itu, pasaran buruh dijangka akan terus berdaya tahan pada bulan-bulan akan datang,” katanya.
Oleh Alzahrin Alias
zahrin@bh.com.my
-BH