JPV Terengganu rampas 78 kambing seludup

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA TERENGGANU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu merampas 78 kambing dianggarkan bernilai RM100,000 yang dipercayai diseludup dari Thailand, malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim, berkata rampasan dilakukan kira-kira 7.30 malam di Jalan Penarik di Setiu dan dua lelaki lingkungan 30-an terdiri daripada pemandu dan kelindan lori yang membawa haiwan berkenaan turut ditahan.

“Terdahulu, penguat kuasa JPV Terengganu telah mengekori sebuah lori yang dalam keadaan mencurigakan dari kawasan sempadan Kelantan-Terengganu di sekitar Tok Bali di Kelantan sebelum menahan kenderaan itu di Jalan Penarik di Setiu kira-kira satu jam kemudian.

“Didapati di dalam lori itu terdapat 78 kambing yang diletakkan di dalam guni dan tidak mempunyai sebarang dokumen atau permit pemindahan,” katanya pada sidang media di sini, malam tadi. Turut hadir Pengarah JPV negeri, Dr Anun Man.

Dr Azman berkata, berdasarkan maklumat awal, kambing itu adalah untuk pasaran di beberapa negeri di luar Terengganu dan kes disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Binatang 1953.

Rampasan itu, katanya adalah kejayaan JPV Terengganu yang ke-12 bagi kes rampasan kambing dengan membabitkan 521 ekor keseluruhannya bernilai RM1.1 juta.

Beliau turut menasihati masyarakat supaya tidak terpedaya dengan tawaran kambing yang dijual pada harga rendah daripada harga pasaran kerana terdapat kemungkinan ia adalah haiwan yang telah diseludup.

“Terdapat kambing seludup iaitu apabila kita sembelih, kita dapati organ dalamannya seperti buah pinggang, paru-paru dan hati telah rosak. Kita bimbang sekiranya haiwan-haiwan ini mempunyai penyakit dikategorikan sebagai penyakit zoonotik yang boleh berjangkit kepada manusia,” katanya.
-BERNAMA
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427