Jerman buntu gol berdepan Ukraine

Estimate Reading Time: < 1 minute

NUREMBERG, Jerman: Jerman dipaksa seri 0-0 oleh Ukraine ketika tuan rumah Kejohanan Eropah itu kurang berkesan di jentera serangan beraksi di Stadium Max-Morlock di Nuremberg yang menyaksikan tiket habis dijual.

Lebih 44,000 peminat dalam suasana bergembira ketika sepak mula, mengharapkan Jerman yang menemui prestasi mereka di bawah kendalian Julian Nagelsmann bertindak cemerlang kurang dua minggu sebelum memulakan kempen Euro 2024 menentang Scotland di Munich pada 14 Jun ini.

Apa yang diharapkan penyokong Jerman itu bagaimanapun mengecewakan mereka, ketika anak buah Nagelsmann mendominasi hampir keseluruhan perlawanan dan mencipta banyak peluang tetapi gagal memecah kebuntuan menentang Ukraine.

“Saya menyedari pasukan ini mahu menang dan kami bermain dengan amat bagus dalam tempoh yang lama,” kata Nagelsmann kepada badan penyiar awam Jerman, Das Erste.
“Dua puluh minit pertama perlawanan amat bagus. Kami patut berjaya mendahului ketika itu. Saya fikir kami perlu bertindak lebih agresif.

“Pemain kami patut lebih ramai berada dalam kotak penalti dan memberi tekanan dalam kawasan penalti mereka. Pemain gantian kami tidak perlu menunggu lama untuk menyesuaikan diri, mereka semua bertindak baik,” kata pengendali berusia 36 tahun itu.

Jerman hadir pada perlawanan itu dengan peralihan nasib di bawah kendalian Nagelsmann, menang dua perlawanan terakhir mereka menentang Perancis dan Belanda dengan corak agresif, tempo tinggi dan mencetus keyakinan dengan kelebihan tuan rumah, Kejohanan Eropah kali ini mungkin mampu menyaksikan kejayaan mereka.

Nagelsmann tidak mendapat khidmat pemain Real Madrid, Toni Kroos dan Antonio Rudiger, kedua-duanya direhatkan selepas memenangi final Liga Juara-Juara selain dua pemain Borussia Dortmund, Nico Schlotterbeck dan Niclas Fuellkrug.

Ketika beberapa aspek persembahan tetap melegakan Nagelsmann, ia satu keputusan yang mencetus persoalan menjelang perlawanan pemanas badan terakhir Jerman bertemu Greece di Moenchengladbach Jumaat ini.

Selepas membuka tirai kejohanan menentang Scotland, Jerman akan berdepan Hungary pada 19 Jun dan Switzerland empat hari kemudian.

-AFP
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373