Jentolak Israel rosakkan pejabat UNRWA

Estimate Reading Time: 2 minutes

BAITULMAQDIS: Jentolak Israel merosakkan pejabat Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) di kem Nur Shams di Tebing Barat pada Khamis.

Ia disahkan Pesuruhjaya Agungnya, Philippe Lazzarini, namun dinafikan pihak Israel.

UNRWA menerusi ciapan di platform X memaklumkan pejabat berkenaan rosak teruk dan tidak boleh digunakan lagi.

Tentera Israel bagaimanapun mengeluarkan kenyataan menafikan bertanggungjawab terhadap sebarang kerosakan pada bangunan itu.

“Dakwaan bahawa pejabat UNRWA di Nur Shams dimusnahkan oleh tentera Pasukan Pertahanan Israel (IDF) adalah palsu,” kata kenyataan itu, merujuk kepada IDF.

“Pengganas menanam bahan letupan di kawasan berhampiran pejabat UNRWA yang kemudiannya diletupkan dalam cubaan untuk mencederakan tentera IDF.

“Bahan letupan itu berkemungkinan menyebabkan kerosakan pada struktur,” kata IDF dalam satu kenyataan.

Isnin lalu, Israel meluluskan undang-undang yang melarang UNRWA beroperasi di negara itu.

Undang-undang itu boleh memberi kesan kepada kerjanya di Gaza yang dilanda perang.

Penggubal undang-undang yang merangka undang-undang itu memetik apa yang mereka sifatkan sebagai pembabitan beberapa kakitangan UNRWA dalam serangan 7 Oktober tahun lalu dan kakitangan yang mempunyai keahlian dalam Hamas dan kumpulan bersenjata lain.

Lazzarini menggelar undian itu sebagai ‘precedent’ berbahaya yang menentang piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan melanggar kewajipan Israel di bawah undang-undang antarabangsa.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata, kakitangan UNRWA terbabit dalam aktiviti keganasan perlu bertanggungjawab.

Terdahulu, tentera Israel mengumumkan perampasan tanah ibu pejabat utama UNRWA di kawasan Sheikh Jarrah, Baitulmaqdis Timur yang diduduki, untuk membina 1,440 unit perumahan.

Menurut Agensi Berita Emirates (WAM), keputusan itu berikutan kelulusan draf rang undang-undang oleh Jawatankuasa Hal Ehwal Luar dan Keselamatan Knesset Israel yang bertujuan untuk memutuskan hubungan antara Israel dan UNRWA.

Menurut rang undang-undang itu, perjanjian 1967 yang membenarkan UNRWA beroperasi di Israel akan dibatalkan dan dengan itu aktiviti agensi berkenaan akan dihentikan serta sebarang hubungan antara pegawai Israel dan kakitangannya akan dilarang.
-REUTERS
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427