Jendela: MCMC sasar 1.2 juta premis, rumah dilengkapi jaringan jalur lebar menjelang 2021

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 28 Dis  — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menyasarkan 1.2 juta premis dan kediaman dilengkapi pembangunan jaringan jalur lebar menjelang 2021 di bawah infrastruktur Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).

Pengerusi MCMC Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata agensi itu akan berusaha secara agresif menjayakan matlamat itu untuk memacu Malaysia ke arah kesalinghubungan digital yang lebih baik.

“Ia akan mengambil masa, kami akan terus memacu industri untuk memastikan penyampaian infrastruktur itu dilakukan mengikut sasaran,” katanya semasa menjadi tetamu rancangan bual bicara Bernama TV, The Nation yang disiarkan hari ini.

Pada Ogos Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelan tindakan Jendela, yang merupakan sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025), akan menyediakan asas untuk liputan jalur lebar yang komprehensif dan berkualiti tinggi serta mempersiapkan negara untuk peralihan ke arah teknologi 5G.

Sementara itu, pengemaskinian mengenai rancangan untuk menyenaraikan perkhidmatan internet sebagai utiliti awam ketiga selepas air dan elektrik, Fadhlullah berkata buat masa ini kerajaan Pulau Pinang sudah menjadikannya sebagai dasar.

“Jadi kami sekarang pergi ke negeri-negeri, bertemu Ketua Menteri dan Menteri Besar, memberitahu mereka mengenai kepentingan perkara itu.

“Kedah, Melaka dan Johor telah membuat pengumuman dan kami kini meneruskan usaha serupa di negeri-negeri lain agar kesemua 14 negeri turut menjayakannya,” kata beliau.

Mengenai cabaran untuk merealisasikan matlamat itu yang telah dirancang, Fadhlullah berkata isu tanah biasanya akan melambatkan rancangan.

Beliau berkata setiap negeri mempunyai undang-undang tanah sendiri dan MCMC juga terpaksa menangani peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Bayangkan jika anda pergi ke sesebuah negeri untuk membina menara (telekomunikasi). Untuk berbuat demikian, anda perlu berurusan dengan peraturan tanah dan ini boleh mengambil masa sebulan, kadang-kadang sehingga setahun.

“Kemudian anda pergi ke PBT, mereka mempunyai satu lagi set peraturan yang perlu dipatuhi, perlu pergi ke banyak jabatan untuk mendapatkan kelulusan… ini akan menyebabkan kelewatan yang sangat lama,” katanya.

— BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427