Jemaah wukuf di Arafah esok

Estimate Reading Time: 2 minutes

MAKKAH: Hampir semua jemaah dari seluruh dunia sudah berada di Tanah Suci Makkah bagi melakukan ibadah haji dengan bersiap sedia untuk berwukuf di Arafah, esok.

Ibadah haji terbesar sejak wabak COVID-19 bermula semalam dengan ratusan ribu jemaah yang kebanyakannya tidak memakai pelitup muka dijangka memenuhi lokasi paling suci bagi umat Islam untuk menunaikan haji.

Sejuta umat Islam yang sudah divaksin sepenuhnya termasuk 850,000 dari luar negara dibenarkan menunaikan haji tahun ini, selepas jumlah itu dikurangkan secara drastik akibat pandemik COVID-19.

Di Masjidilharam, jemaah haji akan melakukan tawaf di Kaabah, yang menjadi kiblat umat Islam di seluruh dunia solat.

Ramai jemaah mengambil peluang untuk melakukan tawaf lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan.

Pada tengah hari Selasa lalu, jemaah lelaki berihram putih dan wanita berjubah berjalan beriringan mengelilingi Kaabah dengan majoriti tanpa memakai pelitup muka walaupun pihak berkuasa mewajibkan pemakaiannya di lokasi itu bulan lalu.

“Saya akan berdoa untuk anda,” kata seorang jemaah haji yang memakai jubah hijau ketika membuat panggilan video dengan ahli keluarganya.

“Saya sayang ibu dan kamu semua,” tambahnya sambil melambai ke skrin telefon bimbitnya sambil terus berjalan mengelilingi Kaabah.

Ibadah haji tahun ini lebih besar daripada 2020 dan 2021 tetapi kapasitinya dianggap masih kecil berbanding sebelum ini.

Pada 2019, kira-kira 2.5 juta umat Islam dari seluruh dunia menyertai acara tahunan yang menjadi tonggak utama umat Islam yang mesti melaksanakan ibadah itu bagi mereka berkemampuan sekurang-kurangnya sekali dalam hidup.

Tetapi selepas itu, wabak COVID-19 memaksa pengecilan saiz jemaah bagi mengekang penularan.

Hanya 60,000 rakyat dan penduduk Arab Saudi yang diberi vaksin sepenuhnya mengambil bahagian pada 2021, meningkat daripada beberapa ribu berbanding 2020.

Ibadah itu adalah acara keagamaan yang diselesaikan selama lima hari di kota paling suci Islam dan sekitarnya di barat Arab Saudi.

Hari ini, jemaah haji bergerak ke Mina yang terletak kira-kira lima kilometer dari Masjidilharam menjelang acara kemuncak di Arafah, di mana dipercayai Nabi Muhammad SAW menyampaikan khutbah terakhirnya.

Haji tahun ini dihadkan kepada umat Islam yang bawah usia 65 tahun dan lengkap divaksinasi sebelum dipilih daripada jutaan pemohon melalui sistem dalam talian.

– AFP -BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427