KUALA LUMPUR, 20 Jan 2023 (The Capital Post): Sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang disambut Ahad ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak semua lapisan rakyat untuk tidak pernah mengalah dan bangkit dengan semangat perpaduan.
Perdana Menteri berkata, adalah penting untuk semua rakyat berbilang kaum di negara ini, diperkasakan selari dengan kedudukan Malaysia yang sudah merdeka dan matang.
“Sebagai sebuah negara merdeka dan sudah matang serta dewasa, wajar untuk kita perkasakan rakyat semua kaum di negara Malaysia tercinta.
“Untuk kesempatan ini, marilah kita sama-sama merayakan hari kebesaran masyarakat Cina. Gong Xi Fa Cai. Selamat Tahun Baharu. Xin Nian Hao,” katanya menerusi video mesej Tahun Baharu Cina Jabatan Perdana Menteri, hari ini.
Dalam video berkenaan, turut disiarkan kisah seekor arnab bernama Miki, yang dianggap simbolik dalam memperoleh kebahagiaan menerusi kekuatan, ketabahan dan keazaman
Miki diibaratkan gagah meneruskan perjalanan kehidupan dan bersikap pantang menyerah, walaupun terpaksa mengharung pelbagai cabaran dan dugaan.
Video itu turut menceritakan mengenai sinar yang dinikmati Miki setelah menempuh kepayahan dan kesusahan itu.
Di akhir video itu, kelihatan Miki digendong Anwar, yang kemudiannya menyampaikan mesej Selamat Tahun Baharu Cina untuk rakyat Malaysia.
-BH
(The Capital Post)