SINGAPURA- Seramai 26 pegawai Yayasan MENDAKI dari Singapura cedera selepas jambatan kayu sepanjang 70 meter runtuh di Montigo Bay Resort di Batam, Indonesia, Khamis.
Yayasan itu, yang mengesahkan kejadian, menyatakan bahawa para pegawai berkenaan sedang menghadiri satu perjumpaan bagi membincangkan perancangan kerja untuk tahun-tahun akan datang.
“Dua puluh empat pegawai berkenaan mengalami cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar. Dua pegawai akan mendapatkan rawatan susulan di Singapura,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuatkan dalam Facebook hari ini.
Yayasan MENDAKI atau Majlis Pembangunan Melayu Singapura/Komuniti Islam adalah pelopor Kumpulan Bantu Diri, yang ditubuhkan pada 1982, yang bertujuan bagi memperkasakan komuniti itu menerusi kecemerlangan dalam pendidikan.
Media Indonesia melaporkan kejadian itu berlaku apabila bahagian tengah jambatan itu roboh pada kira-kira pukul empat petang (waktu Indonesia), yang diyakini akibat tiangnya yang reput.- BERNAMA