Jakim tidak pernah lantik perunding untuk sijil halal

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak pernah melantik perunding bagi mewakili jabatan itu untuk menguruskan permohonan sijil halal Jakim, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Justeru itu, beliau tidak menolak kemungkinan dakwaan rasuah dalam permohonan sijil halal Jakim dilakukan oleh pihak yang menyamar sebagai perunding.

“Ada banyak kes orang datang kepada saya kata mereka dah minta (sijil) setahun tetapi masih belum dapat. Saya tanya kepada siapa dia minta, dia kata minta dengan orang Jakim.

“Bila kita periksa, orang itu perunding yang hanya mahu keuntungan dan dia tidak ikut prosedur yang betul,” katanya kepada pemberita pada perbincangan Meja Bulat Dan Kelas Induk Tentang Inklusi Halal di sini hari ini. Majlis itu dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mujahid berkata permohonan sijil halal tidak dilakukan secara bersemuka, sebaliknya borang dilengkapkan secara dalam talian dengan mengemukakan butiran yang dikehendaki.

“Kemudian kami akan proses dan kalau ada masalah baru panggil pemohon,” katanya.

Bagaimanapun, Mujahid berkata Jakim akan mengambil tindakan tegas jika terbukti terdapat pegawainya sendiri yang menerima rasuah bagi meluluskan permohonan tersebut.

Satu artikel bertajuk Krisis Halal Malaysia diterbitkan oleh laman web Asia Sentinel pada 10 Okt lepas mendakwa kakitangan Jakim mempunyai isu seperti tidak cekap dan masalah integriti dalam urusan proses sijil halal Malaysia.

Artikel berkenaan antara lain mendakwa pegawai Jakim meminta bayaran bagi mendaftarkan premis memproses daging, tidak membantu dan sombong.

Mujahid yang mengulas mengenai artikel itu berkata ia hanya satu dakwaan untuk merosakkan imej Jakim kerana tidak mempunyai bukti yang kukuh terhadap tuduhan tersebut. BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427