UDINE, Itali: Itali mengukuhkan kedudukan mereka di puncak Kumpulan A2 Liga Negara-Negara awal pagi tadi selepas membenam Israel 4-1 di Udine, yang mana kawalan keselamatan diperketatkan bagi perlawanan pertama pasukan lawan di luar Hungary pada 2024.
Penalti Mateo Retegui empat minit sebelum rehat, dua gol menerusi kapten Giovanni Di Lorenzo dan jaringan Davide Frattesi pada minit ke-72 melonjakkan Itali dengan 10 mata daripada empat perlawanan tanpa kalah.
Azzurri enam mata di depan pasukan tangga ketiga Belgium, yang tumpas 2-1 kepada Perancis dan keputusan seri sama ada menentang Red Devils atau Les Bleus bulan depan akan memastikan kemaraan mereka ke suku akhir.
Skuad Itali kendalian Luciano Spalletti jauh berbeza berbanding pasukan yang beraksi hambar ketika cuba mempertahankan kejuaraan pada Kejuaraan Eropah pada musim panas lalu.
Satu lagi persembahan mantap yang mana mereka mensia-siakan banyak peluang untuk menang dengan jurang lebih besar dicemari apabila Guglielmo Vicario membenarkan sepakan sudut Mohammed Abu Fani terus masuk melepasinya pada minit ke-65.
“Kami tidak menggunakan sepenuhnya kelebihan susulan apa yang kami cipta. Untuk sering kali berada di depan penjaga gol mereka tidak mudah kerana mereka bertahan dengan kuat dan untuk mencari ruang amat sukar,” kata Spalletti kepada RAI.
“Kami mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan banyak gol tetapi OK. Anda boleh melakukan kesilapan tetapi kami bertindak balas dengan baik.”
Di Lorenzo teruja dengan dua golnya, satu tandukan padu daripada sepakan percuma rakan sepasukan Napoli, Giacomo Raspadori pada minit ke-54 dan satu rembatan kencang yang melengkapkan jaringan 11 minit sebelum tamat.
Pemain berusia 31 tahun itu beraksi buruk pada Euro dan dikritik hebat media dan penyokong susulan beberapa persembahan buruk.
“Malam ini sesuatu yang istimewa kerana saya memakai lilitan lengan sebagai kapten… Saya akan mengingati malam ini sampai bila-bila,” katanya.
-AFP
-BeritaHarian