MALAGA, Sepanyol: Pemain nombor satu dunia Jannik Sinner menang dalam perseorangan dan beregu untuk membantu juara bertahan Piala Davis, Itali mengalahkan Argentina 2-1 sekali gus layak ke separuh akhir awal pagi tadi.
Itali akan berdepan Australia selepas lawan mereka terdahulu menyingkirkan pemenang rekod 32 kali, Amerika Syarikat 2-1 dalam perlawanan tegang.
Sinner menang dua gelaran Grand Slam pertamanya musim ini, selain menjuarai Pusingan Akhir ATP minggu lalu tanpa kalah sebarang set, dan membenam Sebastian Baez 6-2, 6-1 selepas Francisco Cerundolo mudah menundukkan Lorenzo Musetti 6-4, 6-1 dalam perseorangan pertama.
Dalam pertarungan beregu penentuan, Sinner dan Matteo Berrettini menewaskan Andres Molteni dan Maximo Gonzalez 6-4, 7-5 untuk mara.
“Jika mereka meletakkan saya di gelanggang dalam acara beregu saya akan mencuba yang terbaik,” kata Sinner.
“Matteo bermain dengan amat luar biasa hari ini, dia banyak membantu saya.”
Itali menempah tempat ke separuh akhir kali ketiga berturut-turut dan muncul pasukan pilihan untuk memenangi Piala Davis buat tahun kedua berturut-turut, terutamanya kerana kehadiran Sinner.
Pemain berusia 23 tahun itu masih menanti keputusan rayuan Agensi Anti-Doping Dunia terhadap pembebasan awalnya kerana dua kali diuji positif bagi clostebol steroid pada Mac lalu.
Sinner menundukkan Novak Djokovic dalam perseorangan dan beregu pada separuh akhir tahun lalu dalam laluan membantu Itali menamatkan penantian 47 tahun untuk menjulang trofi itu sekali lagi.
“Saya tidak cukup masa untuk menyesuaikan diri dengan gelanggang ini (selepas Pusingan Akhir ATP) jadi saya amat gembira dengan cara saya menangani situasi hari ini,” kata Sinner kepada wartawan.
-AFP
-BeritaHarian