Isu kain pakaian seragam jururawat, CUEPACS dedah ada bertukar putih kekuningan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA TERENGGANU: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mendedahkan ada kain seragam yang dibekalkan kepada jururawat bukan hanya keras dan tebal sebaliknya berwarna putih kekuningan.

Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat, berkata isu bekalan kain putih tidak berkualiti untuk pelbagai jawatan dalam Kementerian Kesihatan (KKM) sudah lama dibangkitkan tetapi tiada tindakan dilakukan bahagian pembekalan kementerian itu.

Selain kain putih berwarna kekuningan, katanya, ada negeri menerima bekalan kain nipis dan jarang serta tidak sesuai untuk dijadikan pakaian seragam jururawat.

“Kain putih dibekalkan tidak sesuai untuk dijadikan pakaian seragam dan isu itu sudah beberapa kali kita bangkitkan tetapi tiada tindakan penyelesaian oleh bahagian pembekalan KKM.

“Kita sudah membangkitkan agar tindakan segera termasuk pembekalan kain putih perlu diseragamkan tetapi tidak diambil oleh KKM,” katanya selepas menghadiri Program Peningkatan Profesionalisme Pembantu Tadbir Pendidikan sempena SambutanPembantu Tadbir peringkat negeri di sini, semalam.

Isu kain putih untuk dijadikan pakaian seragam dibangkitkan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng melalui ucapan ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat semalam.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, kain putih tebal dan keras yang diterima untuk dijadikan pakaian seragam boleh menimbulkan rasa ketidakselesaan kepada anggota di KKM.

Katanya, CUEPACS mengambil pendekatan untuk tidak membangkitkan lagi isu itu selepas tiada sebarang tindakan diambil KKM tetapi terpaksa apabila anggota kementerian itu membuat aduan semula.

“Kita juga turut menerima aduan, ada antara anggota pasukan keselamatan daripada beberapa kementerian turut menerima kain kaki untuk dijadikan pakaian seragam.

“CUEPACS kecewa apabila isu kain tebal dan keras untuk dijadikan pakaian seragam dibangkitkan semula termasuk di Parlimen,” katanya.

Adnan berkata, kain putih tebal dan keras yang dibekalkan kepada anggota di KKM oleh bahagian pembekalan turut disedekahkan kepada masyarakat dan dijadikan sebagai penutup kenderaan.

Katanya, KKM diingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mementingkan tatakelola dalam setiap pembekalan perolehan kepada anggota perkhidmatan awam.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427