Israel bom Damsyik

Estimate Reading Time: 2 minutes

DAMSYIK: Kementerian Pertahanan Syria memaklumkan dua askarnya cedera akibat serangan peluru berpandu yang dilancarkan Israel berhampiran Damsyik, awal pagi ini.

Selama lebih sedekad perang di Syria, Israel melancarkan ratusan serangan udara ke atas wilayah negara itu dengan sasaran utama terhadap tentera yang disokong Iran dan pejuang Hizbullah serta kedudukan tentera Syria.

Sementara itu, menurut wartawan AFP, letupan kedengaran di ibu negara Syria, sejak dari awal pagi.

“Kira-kira jam 1.20 pagi, tentera musuh (Israel) melakukan pencerobohan udara dari arah Bukit Golan yang didudukinya dengan menyasarkan beberapa kedudukan di sekitar Damsyik,” kata Kementerian Pertahanan Syria.

Bagaiamanapun kementerian terbabit tidak memberikan sebarang butiran mengenai sasaran tetapi mengatakan serangan itu mencederakan dua askar serta mengakibatkan kerosakan harta benda.

Katanya lagi, pertahanan udaranya memintas beberapa peluru berpandu.

Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, iaitu badan pemantau perang yang berpangkalan di Britain, berkata serangan itu menyasarkan kedudukan tentera pro-Iran di selatan ibu negara dan mengakibatkan sekurang-kurangnya penempatan musnah.

Walaupun Israel jarang mengulas mengenai serangan yang dilakukannya ke atas Syria, ia berulang kali berkata, pihaknya tidak akan membenarkan musuh ketatnya, Iran meluaskan jejaknya di negara itu.

Bulan lalu, serangan udara Israel mengorbankan seramai 15 orang di daerah Damsyik yang menempatkan agensi keselamatan negara, kata pasukan pemerhati pada masa itu.

Pada minggu lalu pula, serangan peluru berpandu Israel memusnahkan depot senjata yang disyaki digunakan oleh militia yang disokong Iran di lapangan terbang Aleppo Syria, kata pemantau perang itu.

Pada 7 Mac lalu, tiga orang terbunuh dalam serangan Israel di lapangan terbang sama yang menyebabkan operasinya ditutup dan dibuka semula tiga hari kemudian.

Perang Syria meletus pada 2011 dengan penindasan kejam terhadap protes antikerajaan secara aman dan meningkat kepada konflik bersenjata yang membawa maut, menarik kuasa asing dan pejuang jihad global.

Sehingga kini, kira-kira 500,000 orang terbunuh sementara kira-kira separuh daripada penduduk sebelum perang Syria dipaksa meninggalkan kediaman mereka. – AFP

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427