KUALA LUMPUR: Jumlah tawaran awam permulaan (IPO) yang positif dijangka berterusan pada 2025 selepas mencatatkan jumlah tertinggi dalam 19 tahun pada 2024, kata penganalisis.
Pada 2024, Bursa Malaysia mencatatkan sebanyak 55 IPO, jumlah tertinggi sejak 2005 yang merekodkan sebanyak 79 IPO.
Jumlah IPO yang dicatatkan pada 2024 itu merangkumi 11 di Pasaran Utama, 40 dalam Pasaran ACE dan empat dalam Pasaran LEAP.
CGS International berkata, trend kukuh dilihat dicatatkan dalam pasaran saham Malaysia dengan jumlah tertinggi dalam 19 tahun pada tahun lalu.
Beliau berkata, pencapaian pada 2024 adalah lebih tinggi berbanding sasaran yang dibuat pengendali bursa tempatan iaitu sebanyak 42 IPO bagi tahun lalu.
“Melihat kepada urus niaga perbankan pelaburan, Bursa Malaysia melihat potensi mencatatkan 60 IPO pada 2025.
“Namun, jumlah sebenar akan bergantung kepada masa yang disasarkan oleh syarikat untuk menyenaraikan saham mereka dan sentimen pasaran saham,” katanya dalam nota penyelidikannya.
Kesemua 55 IPO yang dicatatkan pada 2024 mengumpul dana sebanyak RM7.42 bilion, peningkatan sebanyak 107 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Jumlah IPO yang dicatatkan pada 2024 bukan saja memperlihatkan peningkatan jumlah, tetapi IPO yang dicatatkan itu juga berprestasi lebih baik dengan lebih separuh IPO di Pasaran Utama dan Pasaran ACE mengatasi prestasi Indeks FBM KLCI.
Sementara itu, Deloitte menjangka pasaran IPO di Asia Tenggara akan pulih pada 2025 walaupun aktiviti IPO di rantau itu merosot pada tahun lalu, disokong oleh beberapa faktor termasuk pelaburan langsung asing (FDI) yang berterusan ke rantau ini.
Ketua Jaminan Perakaunan dan Pelaporan Deloitte Asia Tenggara, Tay Hwee Ling, pengurangan kadar faedah yang dijangkakan bersama inflasi yang reda mungkin mewujudkan persekitaran yang lebih baik untuk IPO pada tahun-tahun akan datang.
Beliau berkata, pangkalan pengguna Asia Tenggara yang kukuh, kelas pertengahan yang semakin berkembang, dan kepentingan strategik dalam sektor seperti hartanah, penjagaan kesihatan dan tenaga boleh diperbaharui kekal menarik kepada pelabur.
-BeritaHarian