IOI Properties, Maybank tawar pembiayaan khas rumah mesra alam

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: IOI Properties Group Bhd (IOIPG) sedang bekerjasama dengan Maybank untuk menawarkan pembeli rumah, pembiayaan hijau sehingga 95 peratus + 5 peratus membabitkan kediaman mesra alam terpilih.

Syarikat itu melalui satu kenyataan berkata, selaras dengan dasar serta komitmen kemampanannya, inisiatif itu menggalakkan pendekatan pembangunan holistik yang mengintegrasikan reka bentuk hijau dan cekap tenaga.

Ketua Jualan, Pemasaran dan Penjenamaan Kumpulan IOIPG, Nicole Lee Chee Yiing, berkata kumpulan itu gembira dapat bekerjasama dengan Maybank untuk rumah mesra alam terpilih di seluruh portfolio tawaran kediamannya.

“Ini akan menangani keperluan pasaran dengan memenuhi permintaan kontemporari untuk rumah lestari yang dibina dengan mengambil kira keperluan generasi akan datang,” katanya.

Di bawah kempen ini, pencari rumah boleh menikmati pembiayaan sehingga 95 peratus dengan tambahan lima peratus untuk kredit insurans, takaful, yuran guaman, penilaian dan duti setem dengan Maybank Green Home Financing.

IOIPG berkata, pemohon mesti mematuhi syarat kelayakan Maybank seperti pekerjaan dalam syarikat yang telah ditubuhkan dengan operasi sekurang-kurangnya tiga tahun.

Selain itu, kempen ini terpakai kepada hartanah yang diperakui oleh Indeks Bangunan Hijau, GreenRE atau Kepimpinan dalam Reka Bentuk Tenaga dan Alam Sekitar (LEED), antara lain.

IOIPG berkata, kempen baharu ini menunjukkan komitmen berterusannya terhadap pembangunan mampan, menghasilkan rumah berdaya tahan iklim dengan jejak karbon yang lebih rendah selain menandakan usahanya dalam menggalakkan pecutan pengurangan pelepasan gas rumah hijau, meningkatkan kecekapan sumber dan pengurusan sisa yang berkesan.

-BERNAMA
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427