Insiden komponen kren terjatuh: Mayat ketiga dibawa keluar – Bomba

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 24 Mac  — Mayat ketiga dalam insiden komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi Ulu-Klang Expressway (SUKE) berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Cheras Isnin lepas, akhirnya berjaya dikeluarkan awal pagi ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Nordin Pauzi berkata mangsa yang dikenali sebagai Mu Tong Zheng, pekerja warga China yang sebelum ini dilaporkan terjatuh dan tersangkut di atas landasan lebuh raya sebelum tersepit di antara landasan pembinaan lebuh raya, dikeluarkan tiga anggota pada 3.58 pagi.

Katanya, mangsa sebelum ini tidak dapat dikeluarkan memandangkan pihaknya berhadapan kesukaran disebabkan struktur binaan yang tidak stabil dan mangsa tersepit di antara rasuk binaan dan struktur kren gantri.

“Pihak kami telah naik ke atas (struktur binaan tersebut) kira-kira 3 pagi untuk membuat penilaian risiko sebelum tiga anggota yang lengkap berpakaian sut perlindungan diri (PPE) naik dan membawa turun mayat lelaki berkenaan menggunakan bantuan kren.

“Operasi mengeluarkan mangsa mengambil masa setengah jam dan keadaan mayat sedang mereput,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini.

Nordin berkata dengan mangsa terakhir berjaya dikeluarkan, operasi menyelamat selama tiga hari bermula Isnin lepas telah selesai dan kes diserahkan kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata mayat berkenaan telah dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Pada Isnin, tiga pekerja warga China maut manakala seorang pemandu tempatan cedera parah berikutan kejadian satu daripada komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan lebuh raya berkenaan.

— BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427