Inisiatif di bawah PEMERKASA akan lonjakkan automasi, ekonomi digital – VentureTECH

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 24 Mac — Inisiatif di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) akan menyaksikan automasi dan ekonomi digital menjadi sektor penting, ia akan memulihkan ekonomi dengan lebih meluas menerusi peningkatan produktiviti dan inovasi teknologi, kata VentureTECH.

Pengarah Urusannya, Dr Norida Abd Rahman berkata fokus kepada inisiatif automasi dan digitalisasi di bawah Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) sudah pasti akan mendorong syarikat tempatan untuk segera meningkatkan pelaburan mereka dalam automasi supaya kekal kompetitif daripada segi kos dan inovatif.

Beliau berkata sebelum penularan COVID-19, VentureTECH telah aktif mempromosikan penggunaan IR4.0, terutama automasi dan digitalisasi antara syarikat portfolio di industri baharu dan bernilai tambah tinggi.

“Kami juga melabur dalam bidang seperti ‘remote sensing’, komunikasi, automasi dan robotik seperti tenaga pintar, pembuatan pintar dan mobiliti, dan subsektor berasaskan pembuatan dan asas tani lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketika pandemik, beliau berkata VentureTECH telah berhubung dengan agensi kerajaan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) serta institusi kewangan untuk menggabungkan sokongan dalam membantu syarikat tempatan meneruskan perniagaan dan berkembang.

Norida berkata syarikat-syarikat yang menawarkan penyelesaian teknologi kompetitif dan terkini akan  berada dalam kedudukan yang baik apabila ekonomi bertambah baik.

“Sebagai pelabur ekuiti impak yang mensasarkan hasil sosioekonomi, kami berharap aktiviti pelaburan kami dalam situasi semasa akan terus melahirkan pekerja berkemahiran tinggi, mempromosikan inovasi dan mendorong kerjasama strategik serta sinergi perniagaan melalui pelabur kami.

“Kami juga berharap dapat terus memperkasakan ekonomi dan pembangunan sosioekonomi Bumiputera dengan memperkukuhkan kompetensi teknologi dan operasi dalaman serta mengenal pasti peluang perniagaan baharu dalam tempoh pemulihan ketika krisis pandemik,” katanya.

— BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427