Indonesia tarik balik pembekuan tenaga kerja ke Malaysia

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA: Kerajaan Indonesia bersetuju menarik semula sekatan kemasukan tenaga kerjanya ke negara ini, berkuat kuasa 1 Ogos ini.

Ia selepas kedua-dua negara bersetuju untuk mengintegrasikan sistem sedia ada, antara Jabatan Imigresen dan Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) bagi pengambilan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) dan Tenaga Kerja Indonesia (TKI).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, dalam satu kenyataan berkata, persetujuan itu dicapai dalam Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama antara Malaysia dan Indonesia yang digariskan dalam Memorandum Persefahaman (MOU) berhubung PDI, semalam.

Katanya, beliau kemudian mengadakan pertemuan dengan Menteri Ketenagakerjaan Republik Indonesia, Ida Fauziyah.

“Integrasi sistem itu akan berperanan sebagai saluran tunggal pengambilan dan kemasukan PDI ke Malaysia, dijangka beroperasi dalam masa tiga minggu lagi bawah pengawalseliaan Kumpulan Kerja Bersama Malaysia-Indonesia.

“Bagi memastikan sistem saluran tunggal ini beroperasi dengan lancar, satu projek rintis akan dilaksanakan bagi tempoh tiga bulan sebaik integrasi sistem selesai,” katanya.

Pada 13 Julai lalu, Indonesia memaklumkan mengenai keputusan membekukan sementara kemasukan semua pekerja negara itu ke Malaysia kerana tidak menggunakan sistem tunggal seperti yang dipersetujui sebelumnya.

Ini berikutan Jabatan Imigresen terus menggunakan System Maid Online (SMO) dalam urusan permohonan pembantu rumah warga asing oleh majikan, biarpun kedua-dua negara bersetuju menggunakan satu saluran iaitu OCS menerusi MOU PDI, yang dicapai pada April lalu.

Saravanan percaya penyelesaian isu dalam MOU PDI itui akan mendorong kepada kelancaran kemasukan pekerja warga Indonesia ke Malaysia dalam sektor pekhidmat domestik mahupun sektor lain yang dibenar untuk penggajian pekerja warga asing.

Justeru, beliau mengingatkan majikan yang mana kuota pekerja warga asing mereka sudah diluluskan oleh Kementerian Sumber Manusia untuk segera membuat bayaran levi kepada Jabatan Imigresen.

Saravanan berada di Jakarta sempena mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama antara Malaysia dan Indonesia. Mesyuarat itu antara lain membincangkan isu dasar dan teknikal dalam pelaksanaan MOU PDI yang ditandatangani pada 1 April 2022.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427