KUALA LUMPUR: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia melonjak 26.0% tahun ke tahun pada Mei 2021, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.
Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan IPP pada Mei 2021 disokong oleh pengembangan dalam semua indeks merangkumi indeks pembuatan (29.8%), indeks perlombongan (20.7%) dan indeks elektrik (7.9%).
Beliau dalam kenyataan berkata output sektor pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun meningkat 29.8% pada Mei selepas mencatatkan pertumbuhan 68.0% pada April.
Subsektor utama yang menyumbang kepada kenaikan sektor pembuatan pada bulan Mei 2021 adalah produk petroleum, kimia, getah dan plastik (34.8%), produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (49.4%) dan kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (68.9%).
Mohd Uzir berkata industri berorientasikan eksport menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembuatan sebanyak 25.3% manakala industri berorientasikan domestik meningkat 41.1%
Output sektor perlombongan mengembang 20.7% pada Mei 2021 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
Kenaikan tersebut didorong oleh peningkatan dalam indeks gas asli (30.9%) dan indeks minyak mentah dan kondensat (8.6%).
“Output sektor elektrik meningkat 7.9% pada Mei 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya,” tambah beliau.-FMT