Ifedayo belum tunjuk taring sebenar

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Penyerang import baharu Kedah Darul Aman (KDA) FC, Ifedayo Olusegun tidak perlu menunggu lama apabila berjaya membuka akaun golnya ketika penampilan sulungnya berdepan PDRM FC, kelmarin.

Sepakan penalti pada minit ke-81 yang disudahkan Ifedayo membantu skuad bimbingan Nafuzi Zain itu merakam kemenangan 2-0 ke atas skuad ‘The Cops’ untuk membawa pulang tiga mata berharga.

Sekalipun gembira dengan jaringan itu, Ifedayo mengakui dia masih memerlukan masa untuk menunjukkan kemampuan sebenarnya apatah lagi beraksi dengan profil pasukan berbeza seperti KDA FC.

“KDA FC suka menguasai permainan tetapi saya bukanlah penyerang yang boleh mengatasi pertahanan lawan. Saya lebih suka berada pada posisi yang terbaik untuk menunggu hantaran dan melakukan penyudah.

“Jadi saya perlu bersabar untuk mendapatkan persefahaman yang lebih mantap bersama rakan sepasukan kerana kami memerlukan beberapa lagi perlawanan untuk lebih memahami antara satu sama lain.

“Dengan latihan sahaja tidak mencukupi kerana situasi latihan dan perlawanan sebenar begitu berbeza,” katanya.

Sebagai rekod, Ifedayo bukanlah pemain yang asing dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) memandangkan dia pernah menyarung jersi beberapa pasukan seperti FELDA United, Melaka United dan Selangor FC (SFC).

Pemain kelahiran Nigeria itu memiliki reputasi tersendiri apabila berjaya menggondol anugerah Kasut Emas bagi dua tahun berturut-turut selepas meledak 12 gol pada musim 2020 dan 26 gol pada musim 2023.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427