Identiti mangsa kemalangan jalan raya di Kajang dikenal pasti – polis

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 8 Mac  — Identiti sepasang suami isteri yang maut  dan dua anak mereka yang cedera dalam kemalangan jalan raya di Jalan Saujana Impian, Kajang, dekat sini, semalam telah dikenal pasti.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor Supt Azman Shariat berkata, mereka yang maut dalam nahas itu dikenali sebagai Remyzan Baharudin, 42, dan isteri Suzyla Ahmad Dahlan, 40.

Beliau berkata, anak pasangan itu yang cedera dikenali sebagai Raiha Syuhaida Remyzan, 13, manakala adiknya Ra’if Adam Remyzan berusia tujuh tahun, dan masing-masing mengalami kecederaan di bahagian kepala serta dirawat di Hospital Kajang.

“Bedah siasat kedua-dua mangsa kemalangan (Allahyarham Remyzan dan Suzyla) akan dibuat setelah mendapat keputusan ujian swab COVID-19 di hospital berkenaan.

“Kenderaan mangsa dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk siasatan lanjut, manakala kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, pasangan suami isteri berkenaan dan dua anak mereka cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Bezza dan van di jalan berkenaan.

Dalam kejadian pada kira-kira 4 petang itu, kereta yang dinaiki mereka telah bertembung dengan sebuah van dari arah bertentangan yang hilang kawalan, sebelum merempuh penghadang jalan dan memasuki laluan mereka.

Kemalangan itu, menyebabkan Remyzan dan Suzyla meninggal dunia di tempat kejadian.

— BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427