Ibu tunggal mangsa Love Scam rugi RM223,010

Estimate Reading Time: < 1 minute

KOTA BHARU: Seorang ibu tunggal yang juga penjawat awam terpedaya dengan ‘jerat’ seorang lelaki yang dikenalinya menerusi media sosial sehingga kerugian RM223,010 dalam sindiket Love Scam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, mangsa berusia 44 tahun berkenalan dengan suspek yang menyamar sebagai individu berpangkat ‘Datuk’ dan kononnya, menetap di Amerika Syarikat menerusi Facebook pada November, tahun lalu.

“Mangsa dan suspek kemudiannya meneruskan hubungan menggunakan aplikasi Whatsapp dan lebih kurang dua bulan selepas itu suspek memberitahu ingin menjalinkan hubungan lebih serius serta berhasrat untuk berkahwin.

“Pada Januari lalu, suspek menyatakan dalam proses berpindah ke Malaysia untuk bekerja dan mendakwa kad kreditnya mengalami masalah untuk digunakan.

“Sehubungan itu, suspek meminta wang daripada pengadu untuk pelbagai tujuan dan antara Januari hingga 9 April lalu, mangsa sudah membuat sekurang-kurangnya 59 transaksi pembayaran ke 10 akaun bank milik individu berbeza dengan jumlah RM223,010,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Shafien berkata, sumber wang mangsa adalah daripada simpanan bank termasuk Tabung Haji miliknya dan anak serta jualan barang kemas.

Selain itu, ia juga hasil jualan kereta yang dihadiahkan oleh bekas suaminya dan pinjaman daripada bapa dam abang pengadu serta pinjaman bank.

Beliau berkata, wanita itu disyaki ditipu apabila suspek meminta wang RM1,700 dengan alasan kononnya ditahan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana tidak memakai pelitup muka dan dikenakan kompaun RM1,000 serta perlu membayar RM700 sebagai kos perbelanjaan ketika ditahan.

“Mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Sepanjang tahun ini, sebanyak empat kes dilaporkan berkaitan Love Scammer dan ini adalah kerugian paling besar yang dilaporkan,” katanya.

Terdahulu, Shafien hadir membuat pemantauan hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekatan jalan raya bawah Jambatan Sultan Yahya Petra di sini, awal pagi tadi.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427